23 Pengadil Malaysia Terpilih Didaftarkan Sebagai Pengadil FIFA 2025
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) baru-baru ini mengumumkan bahawa seramai 23 pengadil tempatan telah dipilih oleh Panel Pengadil Antarabangsa, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk didaftarkan sebagai pengadil FIFA bagi tahun 2025.
Menurut FAM, senarai yang dikeluarkan oleh FIFA itu terdiri daripada enam pengadil, lapan penolong pengadil, tiga pengadil futsal dan dua pengadil bola sepak pantai.
Selain itu, turut tersenarai adalah empat pengadil wanita yang terdiri daripada seorang pengadil, dua penolong pengadil dan seorang pengadil futsal.
“Mohd Nazmi Nasaruddin yang merupakan pengadil FIFA sejak tahun 2016 mengetuai senarai enam pengadil selain Razlan Joffri Ali (sejak 2018), Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah (sejak 2020), Usaid Jamal (sejak 2022), Kamil Zakaria (sejak 2024) dan juga Izzul Fikri Kamaruzaman yang baru tersenarai tahun ini.
“Penolong pengadil dibarisi oleh Zairul Khalil Tan, Muazi Zainal Abidin, Arif Shamil Abd Rasid, Farhan Abdul Aziz, Shafiq Ahmad Said, Nadziran Aziz, Kesava Raj dan Saharudin Isahak manakala pengadil futsal pula terdiri daripada Helday Idang, Norafendy Norhayalan dan Faiz Jamaluddin.
BACA: FAM Umum CEO Harimau Malaya
“Malaysia turut memiliki dua pengadil bola sepak pantai iaitu Amirul Aizat Lodin dan Syahir Shaharul Nizam yang telah didaftarkan sejak tahun 2023.
“Empat pengadil wanita Malaysia juga telah diiktiraf oleh FIFA iaitu Ain Izzaty Zainal selaku pengadil utama sejak 2024 sementara tiga lagi pengadil ialah Nur Akmal Anuar, Munirah Ha Ali (penolong pengadil) dan juga Atikah Janah (pengadil futsal),” umum FAM dalam satu kenyataan.
Perkembangan terkini ini seiring dengan Pelan Strategik Fasa 2 F:30 2023-2026 yang dirancang oleh FAM, bertujuan untuk melahirkan lebih ramai pengadil bertauliah FIFA, termasuk pengadil wanita, bagi meningkatkan mutu dan profesionalisme dalam arena pengadilan bola sepak.
Tahniah diucapkan kepada 23 pengadil Malaysia yang terpilih.
BACA: FAM Umum Nama Dua Teraju Utama Struktur Organisasi Baharu Harimau Malaya
BACA: FAM Umum Ketua Prestasi Tinggi & Perubatan Sukan Harimau Malaya
Sumber: FAM