Ini 5 Kisah Mangsa Terselamat Dari Nahas Pesawat
Tragedi pesawat terhempas adalah ‘mimpi ngeri’ yang menggoncang dunia.
Setiap insiden membawa luka mendalam yang sukar diubati, mencetuskan rasa takut dalam kalangan masyarakat.
Mana tidaknya, ia sering kali meragut nyawa, dan peluang untuk terselamat juga sangat tipis.
Meski ada yang terselamat, memori pahit akan terus menjadi mimpi buruk yang ‘menghantui’ sepanjang hayat.
Di sini, kami kongsikan lima kisah mangsa yang terselamat daripada nahas mengerikan yang pernah terjadi.
1. Bahia Bakari – Gadis kecil di lautan luas
Bahia Bakari berusia hanya 12 tahun ketika pesawat Yemenia 626 terhempas di Lautan Hindi pada 30 Jun 2009.
Pesawat itu dalam perjalanan dari Paris ke Comoros, namun tragedi berlaku ketika menghampiri destinasi.
Kemalangan itu meragut 152 nyawa termasuk ibunya, Aziza Aboudou.
Walaupun tidak mahir berenang dan tanpa jaket keselamatan, Bahia berjaya bertahan dengan berpaut pada serpihan pesawat selama sembilan jam sebelum diselamatkan.
Dalam tragedi itu, dia adalah satu-satunya penumpang yang terselamat.
2. Juliane Koepcke – Jatuh dari ‘langit’ ke Hutan Hujan Amazon
Pada tahun 1971, Juliane Koepcke yang berusia 17 tahun menaiki pesawat LANSA 508 bersama ibunya untuk menyambut Krismas.
Pesawat itu dipanah petir dan hancur di udara, menyebabkan Juliane terjatuh dari ketinggian 3,000 meter ke tengah Hutan Hujan Amazon.
Berkat ilmu survival yang dia pelajari daripada keluarganya yang merupakan ahli zoologi, Juliane bertahan selama 11 hari.
Di hutan tersebut, dia mengikuti aliran sungai hingga menemui sebuah bot milik penduduk tempatan, sebelum akhirnya diselamatkan.
3. Nando Parrado – Terpaksa makan daging mangsa terkorban demi bertahan hidup
Nando Parrado merupakan pemain ragbi dan pada Oktober 1972, dia bersama pasukannya serta beberapa ahli keluarga menaiki pesawat 571 ke Chile.
Mereka semua dalam perjalanan untuk ke perlawanan ragbi tetapi pesawat itu terhempas di Gunung Andes kerana cuaca buruk.
Tragedi itu membunuh 29 penumpang, termasuk ibu dan adik perempuan Nando.
Nando juga tidak sedarkan diri selama tiga hari kerana mengalami retak di tulang tengkorak.
Selepas sedar, dia perlu ‘melawan’ cuaca sejuk yang melampau ditambah dengan runtuhan salji serta sumber makanan yang terhad.
Lebih menyayat hati, penumpang yang terselamat terpaksa memakan daging penumpang yang terkorban untuk kekal hidup.
Selepas terlalu lama menunggu pasukan penyelamat, Nando dan seorang lagi mangsa membuat keputusan untuk mecari tempat selamat.
Mereka berjaya berjumpa dengan pengembala kambing selepas 10 hari, dan selepas 72 hari di Pergunungan Andes, semua mangsa berjaya diselamatkan.
4. Michelle Dussan – Kehilangan ahli keluarga
Pesawat American Airlines 965 yang terhempas pada 20 Disember 1995 hanya mempunyai empat penumpang yang terselamat daripada 155 penumpang.
Michelle yang ketika itu berumur enam tahun menaiki pesawat itu bersama keluarganya dari Miami ke Colombia untuk menziarahi saudara-mara.
Namun begitu, pesawat ini terhempas di gunung berdekatan Buga, Colombia dan meragut nyawa 151 penumpang termasuk ibu, abang dan saudaranya.
Selepas pesawat terhempas, Michelle dijumpai oleh pasukan penyelamat yang membawanya terus ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Sayangnya, ini merupakan pengalaman menaiki pesawat yang pertama tetapi berakhir dengan tragedi yang membunuh satu keluarganya.
5. Richard Laver: Alami masalah mental, jadi gelandangan selepas terselamat nahas
Richard Laver terselamat nahas pesawat Delta Air Lines 191 berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Dallas yang meragut 137 nyawa termasuk bapanya, Ian Laver.
Richard yang ketika itu berusia 12 tahun, serta bapanya dalam perjalanan dari Florida ke California untuk menyaksikan perlawanan tenis namun semuanya hancur kerana cuaca buruk.
Selepas tragedi itu, Richard mempunyai masalah kesihatan mental yang teruk dan menjadi gelandangan pada usia 27 tahun.
Namun begitu, selepas kelahiran anaknya yang menghadapi masalah kesihatan dan susah mendapat nutrisi yang lengkap, Richard tekad untuk berubah.
BACA: Pesawat Ini Berlepas Pada 2025, Mendarat Pada 2024
BACA: Ketahui Tentang Bird Strike, Salah Satu Punca Pesawat Terhempas
BACA: Pemuda ‘VC’ Dengan ChatGPT, Minta Tolong Masak Mi Segera
Sumber: The Guardian, 2, 3, BBC News, Business Insider