Netflix Naikkan Harga Lagi
Platform penstriman, Netflix menaikkan harga semua pelan langganan termasuk kenaikan pertama untuk pelan dengan sokongan iklan di Amerika Syarikat, Kanada, Portugal dan Argentina, lapor Times Of India.
Difahamkan, perubahan kenaikan harga ini akan berkuat kuasa serta-merta terhadap pelanggan baharu sementara pelanggan sedia ada akan mengalami kenaikan selepas pembayaran bil berikutnya.
Harga bagi setiap pelan Netflix

Pelan standard tanpa iklan akan mengalami kenaikan tertinggi, iaitu meningkat $2.50 kepada $17.99 sebulan.
Pelan dengan sokongan iklan pula akan naik $1 kepada $7.99 sebulan. Manakala pelan premium akan meningkat $2 kepada $24.99 sebulan.
Menurut syarikat itu dalam satu kenyataan, kenaikan harga pelan ini merupakan salah satu usaha mereka dalam menambah baik nilai Netflix.
“Kami akan terus melabur dalam kandungan dan memberikan tambah nilai kepada pelanggan kami, kenaikan sedikit bayaran pelan bertujuan agar kami dapat melabur semula dalam terus menambah baik Netflix,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Kenaikan harga ini bertepatan dengan pengumuman Netflix mengenai penambahan 18.9 juta pelanggan pada suku keempat 2024, peningkatan terbesar jumlah pelanggan dalam sejarah syarikat itu.
Dianggarkan pelanggan Netflix mencecah 300 juta di seluruh dunia ketika ini.
Ketua Pegawai Eksekutif bersama Netflix, Greg Peters berkata, pihaknya mempertahankan strategi penetapan harga itu, terutamanya bagi pelan dengan sokongan iklan.
“Kami percaya dengan penetapan harga permulaan kami, walaupun selepas kenaikan harga. Ia masih merupakan nilai hiburan yang luar biasa dan Netflix merupakan platform yang sangat mudah diakses,” katanya.
Pada Oktober 2023, Netflix telah membuat kenaikan harga kali pertama untuk pelan asas dan premium, sementara harga untuk pelan standard dan sokongan iklan kekal.
Squid Game
Siri kedua dari Korea, Squid Game 2 muncul sebagai salah satu kandungan paling hit dalam Netflix pada tahun lalu.
Bahkan, siri ini merupakan siri TV Netflix paling banyak ditonton sepanjang masa.
Sumber: Times Of India, AFP via France24
BACA: Running Man Bakal Disiarkan Dalam Netflix
BACA: Netflix Sah Naik Harga Pakej, Di Tiga Negara Buat Masa Ini
BACA: Pelan Langganan Beriklan Netflix Cecah 5 Juta Pengguna