Siakap Keli
Bekas Atlet Olimpik Buruan FBI
Gambar: AP

Bekas Atlet Olimpik Kini Buruan FBI

Bekas Atlet Olimpik Kini Buruan FBI

Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) menawarkan ganjaran sebanyak AS$10 juta (sekitar RM44 juta) bagi sebarang maklumat yang membawa kepada penangkapan bekas bintang Olimpik yang didakwa mengetuai sindiket pengedaran dadah antarabangsa dan terlibat dalam beberapa kes pembunuhan.

Ryan Wedding, 43, warganegara Kanada, kini tersenarai dalam “10 Penjenayah Paling Dikehendaki” oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), menurut pejabat FBI di Los Angeles dalam satu kenyataan pada Khamis.

https://x.com/FBI/status/1897731549178552748

Wedding dipercayai mengetuai rangkaian pengedaran dadah yang menyeludup ratusan kilogram kokain dari Colombia ke Mexico dan California Selatan sebelum diedarkan ke Kanada serta bandar-bandar lain di AS.

Beliau juga dikaitkan dengan beberapa kes pembunuhan dan cubaan membunuh dalam usaha mengukuhkan operasi jenayahnya, menurut FBI.

BACA: Lelaki Terselamat Dilanggar Kereta Api Kargo

Pada tahun lalu, Wedding didakwa di mahkamah persekutuan Los Angeles (LA) atas pelbagai tuduhan jenayah. Ini termasuklah menjalankan operasi jenayah berterusan, melakukan pembunuhan dalam rangkaian jenayah serta kesalahan berkaitan dadah.

Beliau bersama orang kanannya, Andrew Clark, 34, juga dari Kanada, didakwa bersekongkol menyeludup ratusan kilogram kokain dari Mexico ke LA.

Dadah tersebut kemudiannya disimpan di beberapa lokasi rahsia sebelum dihantar ke Kanada dan bandar-bandar lain di AS menggunakan lori kargo jarak jauh.

Selain itu, Wedding dan Clark turut disyaki mengarahkan beberapa pembunuhan di Kanada bagi memastikan kelangsungan operasi mereka, menurut FBI.

Clark telah ditahan di Mexico tahun lalu oleh pihak berkuasa tempatan dan merupakan antara 29 pelarian yang diekstradisi ke AS minggu lalu. Namun, lokasi Wedding masih belum diketahui.

“Wedding pernah bersaing di pentas Olimpik, tetapi kini dia disyaki menjadi pengedar utama kokain di jalanan AS dan Kanada. Pembunuhan yang didakwa dilakukannya menjadikan dia seorang individu yang sangat berbahaya,” kata Penolong Pengarah FBI Pejabat LA, Akil Davis.

Jabatan Negara AS, menerusi Biro Hal Ehwal Dadah Antarabangsa dan Penguatkuasaan Undang-undang, telah meluluskan ganjaran AS$10 juta untuk maklumat yang membawa kepada penahanan atau sabitan Wedding, dengan kelulusan oleh Setiausaha Negara Marco Rubio.

Ganjaran itu adalah tambahan kepada AS$50,000 (sekitar RM220 ribu) yang sebelum ini ditawarkan oleh FBI bagi sebarang maklumat yang boleh membawa kepada penangkapan dan ekstradisi Wedding.

BACA: Remaja Hilang Ditemui Maut Dibunuh Tragis

Wedding pernah mewakili Kanada dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk 2002 di Salt Lake City dan menduduki tempat ke-24 dalam acara slalom gergasi selari sebelum didakwa menjalankan operasi penyeludupan kokain bernilai berbilion dolar dari Mexico selama lebih sedekad.

Beliau dipercayai bersembunyi di Mexico, namun pihak penyiasat tidak menolak kemungkinan Wedding berada di AS, Kanada, Colombia, Honduras, Guatemala atau Costa Rica.

Wedding juga dikenali dengan beberapa nama samaran seperti “El Jefe”, “Giant”, “Public Enemy”, “James Conrad King”, dan “Jesse King”.

Sekiranya disabitkan bersalah atas tuduhan membunuh dan cubaan membunuh, Wedding bakal berdepan hukuman penjara seumur hidup.

Tuduhan menjalankan operasi jenayah berterusan turut membawa hukuman minimum penjara seumur hidup di bawah undang-undang persekutuan AS.

BACA: Gabenor New York Isytihar Darurat 

Sumber: ABC News

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.