Siakap Keli
Cold Storage Giant Singapura 
Sumber: Straits Times

“Syarikat Malaysia” Ini Ambil Alih Cawangan Cold Storage, Giant Di Singapura 

“Syarikat Malaysia” Ini Ambil Alih Cawangan Cold Storage, Giant Di Singapura 

Semua cawangan pasar raya Cold Storage dan Giant di Singapura akan dibeli oleh kumpulan peruncitan Malaysia, Macrovalue, dengan harga permulaan AS$125 juta (sekitar RM554 juta).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pemilik semasa, DFI Retail Group, dan Macrovalue pada 24 Mac, perjanjian ini melibatkan 48 cawangan Cold Storage. Ini termasuklah jenama CS Fresh, CS Gold, Jason’s Deli.

Selain itu, turut terlibat adalah 41 cawangan Giant, dan dua pusat pengedaran di Singapura.

Urus niaga ini dijangka selesai pada separuh kedua tahun 2025, dengan Macrovalue mengambil alih 100 peratus kepentingan dalam perniagaan tersebut.

Fokus baharu DFI Retail Group

Selepas penjualan ini, DFI Retail Group akan memberi tumpuan kepada perniagaan farmasi Guardian dan kedai serbaneka 7-Eleven di Singapura dan rantau ini.

Di Singapura sahaja, terdapat lebih 120 cawangan Guardian dan lebih 450 cawangan 7-Eleven.

Selain Singapura, DFI juga mempunyai operasi di Thailand, Hong Kong dan Filipina.

Pengumuman penjualan ini menyebabkan harga saham DFI di Bursa Singapura meningkat sebanyak 5.3 peratus pada 1.45 petang, 24 Mac.

Saham tersebut kemudiannya ditutup pada AS$2.34 (sekitar RM10.37), mencatatkan peningkatan sebanyak 4 peratus.

Macrovalue kukuhkan kedudukan di rantau ini

Macrovalue sudahpun memiliki operasi Cold Storage dan Giant di Malaysia selepas mengambil alih GCH Retail Group pada 2023.

Dengan pengambilalihan baharu di Singapura, Macrovalue berhasrat untuk meningkatkan kecekapan operasi dan mengoptimumkan rantaian bekalan serantau.

Selain itu, syarikat tersebut juga ingin meningkatkan pengalaman pelanggan secara keseluruhan.

“Kami akan memastikan kesinambungan pasukan pengurusan dan operasi tempatan bagi terus mempertingkatkan kualiti perkhidmatan untuk pelanggan.

“Operasi sedia ada Macrovalue di Malaysia juga dapat menyokong operasi Cold Storage di Singapura dalam aspek rantaian bekalan dan perolehan, sekali gus membantu memperluas pilihan serta nilai untuk pelanggan kami,” kata pemilik bersama Macrovalue, Andrew Lim.

Kumpulan ini diasaskan oleh dua usahawan Malaysia, Datuk Lim dan Datuk Gary Yap, pada 2022.

Peralihan operasi yang lancar

Dalam pada itu, Macrovalue memberi jaminan bahawa proses pengambilalihan akan berjalan dengan lancar tanpa menjejaskan operasi harian.

Pengarah Urusan Bahagian Makanan Singapura di DFI Retail Group, Lim Boon Cheong, akan terus mengetuai Cold Storage sebagai Pengarah Urusan selepas pengambilalihan selesai.

Beliau mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam industri ini dan pernah memegang beberapa jawatan penting.

Ini termasuk jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Cold Storage Singapura dan Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Serbaneka yang mengawasi operasi 7-Eleven di Hong Kong, China Selatan dan Singapura.

Ketua Pegawai Eksekutif DFI, Scott Price berkata, penjualan perniagaan pasar raya di Singapura membolehkan kumpulan itu memfokuskan sumber pada perniagaan Guardian dan 7-Eleven.

“Dalam situasi kos makanan yang semakin meningkat, adalah penting untuk memanfaatkan skala ekonomi dan kecekapan operasi bagi melindungi pelanggan daripada kenaikan harga yang mendadak sambil mengekalkan kualiti dan perkhidmatan,” katanya.

Difahamkan, penjualan ini berlaku apabila operasi pasar raya DFI di Singapura mencatatkan keuntungan pada 2024 selepas mengalami kerugian selama beberapa tahun.

Walaupun kembali mencatatkan keuntungan, DFI menyatakan pada awal Mac bahawa mereka menjangkakan hasil pasar raya di Singapura kekal stabil. Hal ini disebabkan oleh persaingan sengit dalam industri.

Bagaimanapun, syarikat itu melihat prospek pertumbuhan dan margin yang lebih baik melalui perniagaan kedai serbaneka 7-Eleven pada masa hadapan.

BACA: “Keluarga Dari Malaysia” Ini Rupanya Pemilik Tanah Persendirian Ke-2 Terbesar Di New Zealand

BACA: Chef Itali Review Mentega Farm Fresh, Curi Tumpuan Ramai

BACA: “Ini” Antara Punca Individu Berpotensi ‘Nyanyuk’ Di Usia Muda

Sumber: Straits Times

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.