Tiada Perubahan Dasar Visa AS Bagi Rakyat Malaysia
KUALA LUMPUR — Kementerian Luar Negeri (KDN) ingin memaklumkan tiada sebarang perubahan terhadap keperluan visa atau dasar imigresen yang secara khusus menjejaskan rakyat Malaysia yang melancong atau menetap di Amerika Syarikat (AS) setakat ini.
Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas kementerian itu, dasar imigresen negara itu tidak menyasarkan rakyat Malaysia secara khusus.
“Walau bagaimanapun, rakyat Malaysia yang sedang berada di AS atau merancang untuk ke negara tersebut dinasihatkan agar sentiasa mengikuti keperluan masuk, visa dan dasar imigresen yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa AS,” maklum kenyataan itu.
Tambahnya, rakyat Malaysia di sana turut dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi undang-undang tempatan, peraturan imigresen dan syarat visa masing-masing, yang dikuatkuasakan dengan ketat.
“Kementerian ini akan terus memantau perkembangan mengenai perkara ini dan akan menyalurkan maklumat terkini sekiranya terdapat sebarang perubahan yang melibatkan rakyat Malaysia. Semua pengembara digalakkan untuk merujuk kepada sumber rasmi bagi mendapatkan maklumat yang sahih apabila merancang atau keberadaan mereka di luar negara.
“Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan atau keperluan untuk mendapatkan bantuan konsular, digalakkan untuk menghubungi Perwakilan Diplomatik Malaysia yang terdekat di Kedutaan Besar Malaysia Washington DC, Konsulat Jeneral Malaysia Di Los Angelas dan Konsulat Jeneral Malaysia di New York,” maklum kenyataan itu lagi.
https://www.facebook.com/BernamaTV/posts/pfbid0c1yvUJPVb9AzoDvddHwMub3MzucapaZQHHCbcqmcvYfFKv2uM8vsk56GihP7E64Ml
Sumber: Bernama tv