Ketahui Perbezaan Maksud ‘Guna Sebelum’ dan ‘Baik Sebelum’
Setiap kali ke pasar raya atau mana-mana kedai runcit, perkara pertama yang biasa dilakukan oleh setiap orang adalah melihat tarikh luput pada label barangan makanan atau minuman.
Kebiasaannya, label ini terletak di bahagian depan atau belakang permukaan produk yang dijual untuk memudahkan pelanggan melihat.
Tapi, perasan tak setiap kali membeli produk mesti akan tertera label ‘Guna Sebelum’ dan ‘Baik Sebelum’ bukan?
Biarpun terma yang digunakan hampir sama, namun ia mempunyai maksud yang berbeza dan masih ramai di luar sana yang keliru dengan perkara ini.
Sehubungan itu, hari ini SK kongsikan perbezaan label tarikh luput “Guna Sebelum” dan “Baik Sebelum”, melalui hantaran Kementerian Kesihatan Malaysia Putrajaya (@KKMPutrajaya) di ruangan bawah.
Beza Label ‘Guna Sebelum’ dan ‘Baik Sebelum’

Guna Sebelum (Use By)
1. Tarikh “Guna Sebelum” bermakna tarikh akhir sesuatu produk itu ‘selamat’ untuk dimakan.
2. Produk ini akan rosak dan tidak boleh dimakan selepas tarikh tersebut.
3. Produk harus dibuang selepas tarikh tersebut.
4. Sebagai contoh, produk makanan yang cepat rosak dan tidak perlu disimpan lama seperti daging, susu, kek, roti, telur dan sebagainya.
Baik Sebelum (Best Before)
1. Tarikh “Baik Sebelum” bermaksud sifat atau kualiti produk tertentu kekal sehingga tarikh yang dinyatakan.
2. Produk ini masih selamat untuk dimakan jika tiada perubahan rupa, warna, bau dan rasa selepas tarikh tersebut.
3. Produk ini sudah tidak boleh dijual selepas tarikh tersebut.
4. Contohnya, produk dalam tin.

Semoga bermanfaat.
Sumber: KKMPutrajaya via X