Gol Tunggal Dembele Pisahkan Kemenangan PSG Di Emirates
LONDON — Paris Saint-Germain (PSG) membawa bekalan tipis ke separuh akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah apabila menewaskan Arsenal 1-0 hasil jaringan awal Ousmane Dembele di Stadium Emirates, awal pagi tadi, lapor AFP.
Sebaik sahaja wisel permainan ditiupkan, Dembele berjaya menyempurnakan serangan balas seawal minit ke-4, selepas menerima hantaran Khvicha Kvaratskhelia untuk merembat tepat ke penjuru gawang melepasi kawalan David Raya.
The Gunners berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-47 oleh Mikel Merino namun dibatalkan oleh VAR kerana ofsaid.
Manakala dua percubaan berbahaya oleh Gabriel Martinelli dan Leandro Trossard dinafikan oleh aksi cemerlang penjaga gol pelawat, Gianluigi Donnarumma

Gol tunggal itu sudah cukup untuk memberi kelebihan tipis buat PSG menjelang aksi timbal balik di Parc des Princes pada 7 Mei nanti.
Arteta Kecewa Peluang Keemasan Di Sia-Siakan
Pengendali Arsenal, Mikel Arteta, menyifatkan kekalahan itu sebagai satu kekecewaan besar setelah melihat peluang terhidang yang gagal disudahkan pemainnya.
“Kami lambat mendapat rentak di awal permainan, tetapi kami beri segalanya. Separuh akhir ini belum berakhir lagi. Kami masih berpeluang ke final.” katanya.
Enrique Puji Persembahan Anak-Anak Buah
Sementara itu pengendali PSG, Luis Enrique memuji anak-anak buahnya yang berjaya menyekat serangan lawan, biarpun bermain di gelanggang lawan.
“Kami bermain mengikut identiti kami dan berjaya menjaringkan gol awal. Kami juga berpeluang tambah jaringan tetapi masih ada satu perlawanan penting di Paris,” katanya.
Kali pertama Arsenal mara ke separuh akhir adalah pada tahun 2009, selepas menyingkirkan Real Madrid dengan agregat 5-1.
Sumber: AFP via France24