Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Hilang Sejak 1962, Wanita Ditemui Selamat & Sihat
Seorang wanita di Amerika Syarikat (AS) yang dilaporkan hilang sejak 1962 ditemui masih hidup dan dalam keadaan baik.
Menurut BBC, perkembangan terkini wanita berkenaan diketahui selepas seorang detektif, Isaac Hanson membuat penilaian semula terhadap kes berkenaan.
Audrey Backerberg berusia 2o tahun ketika dia hilang dari rumahnya di pekan kecil Reedsburg pada 7 Julai 1962.
Dalam kenyataan yang diterbitkan oleh Sauk County Sheriff Chip Meister, kehilangan Audrey adalah atas “keputusannya sendiri dan bukan disebabkan oleh perbuatan jenayah atau perbuatan khianat”.
Kata polis lagi, wanita itu kini menetap di sebuah kawasan di luar Wisconsin. Bagaimanapun pihak polis tidak berkongsi sebarang butiran lanjut tentang perkara tersebut.
Pada hari kehilangannya, Audrey dikatakan keluar untuk mengambil gaji di kilang tekstil tempat dia bekerja dan tidak pernah pulang lagi selepas itu.
Tidak lama kemudian, pengasuh anak Audrey mendakwa dia dan wanita berkenaan keluar ke Madison, ibu negeri Wisconsin sebelum mereka mengambil bas menuju ke Indianapolis.
Ketika tiba di hentian bas di Indianapolis, pengasuh itu memberitahu dia merasa gementar dan mengajak Audrey pulang semula ke Wisconsin.
Namun, Audrey menolak ajakan tersebut dan kali terakhir dilihat berjalan berdekatan stesen bas berkenaan.
Menurut Pertubuhan Advokasi Orang Hilang Wisconsin, Audrey sudah pun berkahwin dan memiliki dua orang cahaya mata ketika kehilangannya.
Sehari sebelum dilapor hilang, wanita berkenaan sempat menfailkan aduan jenayah terhadap suaminya dan mendakwa kerap dipukul serta pernah diugut bunuh oleh lelaki tersebut.
Malah, keluarga Audrey juga berkeras bahawa wanita berkenaan amat menyayangi anak-anaknya dan tidak akan meninggalkan mereka tanpa sebarang alasan.
Suami Audrey kemudian telah menjalani ujian poligraf bagi mencari kebenaran berhubung dakwaan yang dibuat terhadapnya. Dia lulus ujian tersebut dan kekal tidak bersalah.
Dalam pada itu, Hanson turut berkongsi kepada media bagaimana dia menyelesaikan misteri Audrey dan hasil pertemuannya dengan wanita berkenaan.
Kata Hanson, dia mendapat petunjuk daripada sebuah akaun milik kakak kepada Audrey.
Maklumat dalam akaun tersebut membantu mengesan pelbagai rekod penting termasuk rekod kematian dan bancian, yang akhirnya membawa kepada penemuan lokasi Audrey.
“Saya hubungi balai polis di kawasan beliau tinggal dan minta mereka semak alamat yang kami syaki. Sepuluh minit kemudian, Audrey sendiri menghubungi saya,” kata Hanson kepada stesen berita tempatan WISN.
Detektif Hanson berbual dengan Audrey selama 45 minit, dan menurutnya, wanita itu terdengar tenang, yakin dengan keputusannya dan langsung tidak menunjukkan sebarang penyesalan.
“Saya rasa dia hanya mahu keluar dari segalanya dan memulakan hidup baharu. Dia bunyinya bahagia,” katanya.
BACA: Trump Umum Tarif 100 Peratus Terhadap Filem Luar Negara
BACA: 30 Jam Padam Kebakaran, Israel Hadapi Satu Lagi Insiden Kebakaran Hutan