KRU Catat Dua Pengiktirafan “Malaysia Book of Records”
Kumpulan muzik terkenal tanah air, KRU, mencipta sejarah apabila menerima dua pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBR).
Pencapaian itu diperoleh hasil kejayaan penganjuran Konsert GenKRU 2025 yang berlangsung selama empat malam berturut-turut di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil.
Pengiktirafan pertama diberikan kepada trio adik-beradik iaitu Datuk Norman Abdul Halim, Yusry Abdul Halim dan Edry Abdul Halim menerusi kategori Most Shows in a Single Concert Series (Persembahan Terbanyak Dilakukan dalam Satu Siri Konsert).
Menurut Norman, kejayaan ini bukanlah milik KRU semata-mata.
Sebaliknya, ia merupakan tanda penghargaan buat para peminat yang telah menjayakan Konsert GenKRU 2025 daripada perancangan asal satu malam kepada dua, tiga dan akhirnya empat malam.
“Kami amat berterima kasih atas sokongan tanpa henti selama lebih tiga dekad, sehingga membolehkan Konsert GenKRU 2025 diiktiraf oleh Malaysia Book of Records,” katanya.
Sementara itu, penganjur acara, Icon Entertainment (M) Sdn Bhd, turut menerima pengiktirafan MBR bagi kategori Most Concert Tickets Sold Out in an Hour (Penjualan Tiket Konsert Terpantas dalam Tempoh Satu Jam) apabila sebanyak 8,000 tiket habis terjual dalam masa hanya 60 minit.
Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang berkata, pihaknya sangat terharu dengan sambutan luar biasa daripada para peminat yang menjadi tunjang kejayaan konsert tersebut.
“Terima kasih kepada pihak MBR atas pengiktirafan ini. Kami di Icon Entertainment dengan sukacitanya berkongsi penghormatan ini bersama semua peminat yang telah menjadikan konsert ini bukan sahaja mencatat jualan tiket terpantas, tetapi juga berlangsung dengan penuh gemilang selama empat malam,” katanya.
Untuk info, lebih 30,000 peminat hadir menyaksikan Konsert GenKRU 2025 yang turut menampilkan penampilan istimewa daripada artis-artis jemputan seperti Feminin, Elite dan Adam AF.
BACA: Anak Gajah Jantan Mati Dilanggar Lori Kontena Di Gerik
BACA: Anak Mati Dilanggar, Ibu Gajah Setia Tak Berganjak
BACA: Ibu Gajah Dipercayai Kembali Ke Lokasi Kejadian
Sumber: Astro Awani