Terkini

Luar Negara
Enggan Beri Kentang Goreng, Pertikaian Rakan Berakhir Tragis
Berita
KTMB Tawar 20 Peratus Diskaun ETS Sempena Tahun Baru Cina, Ramadan
Sukan
Liek Hou Juara Dunia Buat Kali Kesembilan
Politik
Noh Umum Letak Jawatan Ahli MPT Bersatu
Berita
Peruntukan Tambahan RM20 Juta Untuk SMJKC - Anwar
Trivia
Kenali Adat Menitik Mata Singa, Upacara Khas Sebelum Persembahan Tarian Singa
Berita
Hujan Lebat Di 9 Negeri, 2 Wilayah Hingga Malam Ini
Politik
Saya Punyai Tanggungjawab Pastikan Bersatu Terus Kukuh - Muhyiddin
Politik
Radzi Jidin & Faizal Azumu Galas Tugas Timbalan Presiden Bersatu
Berita
Pasangan Suami Isteri Maut, Kereta Terbakar Dirempuh SUV Di Temerloh
Berita
Aliran Trafik Di Lebuh Raya Utama Keluar Dari Lembah Klang Mulai Sesak Pagi Ini
Luar Negara
Fosil Mastodon & Sloth Gergasi Dipercayai Berusia 40,000 Tahun Ditemui
Gaya hidup
Terhibur, Lelaki Kongsi Pelembut Fabrik 'Bau Malaysia' Di Arab Saudi
Berita
Tiga Negeri Diramal Hujan Lebat Hingga Awal Pagi
Politik
Bersatu Larang Ahli Sertai Perhimpunan Anjuran Individu Dipecat
Gaya hidup
Sanggup Berhenti Kerja, Lelaki Korea Dedah Sebab Kenapa Tinggalkan Malaysia
Politik
PKR Berada Pada Tahap Terbaik - Anwar
Luar Negara
Detik-Detik Lubang Benam Gergasi Muncul Di Tengah Jalan
Politik
Wan Ahmad Fayhsal Pula Dipecat Bersatu
Berita
Beri Ruang Jawatankuasa Khas Siasat Isu Azam Baki - PM Anwar
Berita
Pertumbuhan Ekonomi Malaysia 2025 Catat 5.2 Peratus, Atasi Unjuran Awal
Politik
Hamzah Zainudin Dipecat Daripada Bersatu
Bisnes
TERAJU Lancar Empat Program Pacu Syarikat Berpotensi
Kesihatan
Hati-Hati Jika Nampak Putih Telur Berwarna ‘Pelangi’, Ini Risikonya
Berita
Hujan Lebat Di 7 Negeri, 1 Wilayah Hingga Malam Ini
Jenayah
Mahkamah Rayuan Lepas Sementara Syed Dengan Jaminan Sehingga Rayuan Didengar
Tip
Rahsia Cuci Kain Lebih Bersih, Guna Satu Bahan Mudah Ni
Luar Negara
Ahli Astronomi Terkejut Temui Bintang Dengan Susunan Planet Luar Biasa
Jenayah
SPRM Teliti Dakwaan Seleweng Pelaburan RM1.1 Bilion Libat Bekas Menteri Kanan
Luar Negara
Kim Jong Un Bakal Pilih Anak Perempuan Sebagai Pengganti?
rafizi ramli kongsi luahan pkr
Gambar: Bernama

Pemilihan PKR: Rafizi Kongsi Luahan Hati Di Media Sosial

Iqbal Yasir

Pemilihan PKR: Rafizi Kongsi Luahan Hati Di Media Sosial

PUTRAJAYA — Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkongsi luahan hati selepas keputusan pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi jawatan sesi 2025-2028 yang diumumkan pada Jumaat.

Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi miliknya, beliau berkata bahawa ini merupakan antara kempen paling luar biasa pernah dilalui, apabila begitu ramai rakyat tampil menyuarakan sokongan dan memperjuangkan naratif kempen dengan penuh semangat.

“Saya telah mengendalikan banyak kempen politik sebelum ini. Tidak pernah dalam mana-mana kempen itu, yang begitu ramai rakyat biasa lantang menyokong dan membina naratif kempen yang memuncak, kemudian disusuli kekalahan yang begitu ketara.

“Oleh itu, saya terhutang budi yang amat besar kepada rakyat Malaysia biasa yang menyokong kempen saya. Terima kasih yang tidak terhingga, hanya Allah yang dapat membalas kebaikan semua.

“Saya tidak mahu meneruskan polemik mengenai keputusan pemilihan. Sejak kempen bermula, saya mengambil pendekatan telus dan lantang dalam menyuarakan kebimbangan saya terhadap pelbagai isu: daripada perubahan kepada sistem pengundian satu ahli satu undi, kepada integriti sistem pengundian digital, sehinggalah kepada sikap sambil lewa dalam menyelesaikan isu-isu ini.

“Saya faham rasa kecewa dan putus asa di kalangan ahli biasa PKR dan penyokong. Kita memerlukan masa untuk pulih dari perasaan seolah-olah segala usaha dan dedikasi bertahun-tahun kepada idealisme PKR telah sia-sia,” luahnya.

BACA: Pemilihan PKR: Amirudin, Ramanan, Aminuddin, Chang Lih Kang Dipilih Naib Presiden

Tambah Rafizi, beliau berkata dia juga seorang manusia biasa, tidak terkecuali daripada rasa yang sama, walaupun seketika.

“Hampir separuh usia dewasa saya, lebih tepat, hampir 27 tahun, telah saya curahkan kepada perjuangan ini: daripada menggerakkan Kempen Antarabangsa Bebaskan Anwar, menyertai kepimpinan awal Pemuda Keadilan, hinggalah menulis sebuah buku untuk menerangkan kes mahkamah Anwar Ibrahim kepada orang awam.

“Saya meninggalkan kerjaya korporat yang baik pada usia yang muda, atas permintaan Anwar, untuk menjadi Ketua Staf beliau di Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor.

“Sehingga kini, saya telah mengharungi 16 kes mahkamah: 7 jenayah dan 9 saman sivil, kerana mendedahkan pelbagai skandal kewangan awam.

“Mungkin saya menghabiskan lebih banyak masa di mahkamah berbanding peguam biasa. Saya pernah dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun (ditangguhkan dan diganti dengan bon berkelakuan baik) di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana peranan saya dalam mendedahkan skandal 1MDB,” katanya lagi.

Mengulas lebih lanjut, beliau meluahkan tidak langsung kecewa dengan kekalahan ini, sebaliknya merasa agak lega kerana kini boleh kembali menjalani kehidupan seperti orang biasa.

BACA: Armizan Nafi Kerajaan MADANI Hapuskan Subsidi LPG

“Jujurnya, saya tidak langsung kecewa. Malah saya rasa agak lega kerana kini saya boleh kembali menjadi orang biasa, diselamatkan dari sandiwara kuasa dan politik kelas tinggi.

“Saya terjebak di dalam gerakan reformasi (sebelum pun PKR dilancarkan) kerana sebuah idealisme. Saya mahu melihat perubahan kerajaan secara demokratik berlaku buat pertama kali kerana saya percaya persaingan sihat antara parti-parti politik adalah baik untuk rakyat. Saya percaya rakyat berhak mendapat pasukan terbaik untuk mentadbir negara.

“Persaingan mengangkat merit dan memaksa ahli politik lebih bertanggungjawab. Ia adalah penawar kepada budaya rasuah yang berleluasa di kalangan ahli politik kerana mereka boleh dihumban dari kuasa.

“Saya mahu melihat sebuah Malaysia yang majmuk dan progresif kerana kita adalah sebuah negara kecil. Masyarakat majmuk membuka fikiran kita untuk bersaing secara sihat.

“Ia membolehkan kita belajar antara satu sama lain supaya kita menggarap budaya kerja terbaik. Ia membina ihsan, kepercayaan dan rasa hormat. Persaingan mempersiapkan kita untuk bersaing di peringkat global. Semua ini mampu membawa kemakmuran dan kehidupan yang jauh lebih baik kepada ramai rakyat Malaysia.

“Saya menyertai PKR kerana idealisme ini dan manfaatnya kepada rakyat. Saya tidak menyertai PKR demi jawatan atau kedudukan Menteri, apatah lagi untuk membina kekayaan.

“Saya faham nasib Anwar Ibrahim berkait rapat dengan PKR, namun saya percaya keabsahan PKR di mata rakyat melangkaui Anwar atau mana-mana individu. Pemimpin datang dan pergi, tetapi idealisme tetap kekal

“Saya kekal dalam PKR selama 27 tahun, lebih lama daripada ramai perintis dan tokoh parti yang lebih kanan, kerana saya percaya PKR baru berlari anak.

“Walaupun kita telah menyumbang dalam memberi pencerahan dan mematangkan masyarakat Malaysia, kita masih jauh daripada mencapai matlamat yang dijanjikan idealisme itu,” katanya.

BACA: Nurul Izzah Tewaskan Rafizi, Sandang Jawatan Timbalan Presiden PKR

Jelas Rafizi, beliau tidak pernah percaya bahawa memegang jawatan dalam kerajaan adalah satu-satunya cara untuk mencapai matlamat itu. Masyarakat mesti berubah lebih cepat daripada kerajaan untuk merealisasikan sebuah Malaysia yang majmuk dan progresif.

“Saya amat berbangga dengan ahli biasa PKR dan penyokong yang tetap teguh mempertahankan idealisme ini sepanjang kempen, walaupun segala-galanya telah disusun untuk tidak memihak kepada saya. Cita-cita reformasi sebenarnya masih ada harapan.

“Terima kasih atas ratusan mesej sokongan yang saya terima. Terima kasih juga kepada mereka yang mendoakan saya dan bersolat hajat. Saya sangat tersentuh apabila beberapa ahli muda parti menitiskan air mata semasa saya meninggalkan dewan, sambil merayu agar saya tidak meninggalkan PKR walaupun dilayan sedemikian rupa,

“Saya tidak berniat untuk berputus asa dan lari dari cita-cita idealisme kita selama ini, iaitu Malaysia berhak mendapat sesuatu yang lebih baik. Cita-cita itulah yang telah menjerumuskan saya ke dalam aktivisme dan politik dahulu. Setiap satu masalah ada pelbagai penyelesaiannya. Setiap satu rintangan ada banyak jalan pintasnya.

“Dengan lebih banyak masa yang ada, Insya Allah saya akan dapat meluangkan lebih banyak masa bersama rakyat biasa selepas ini.

“Dalam masa terdekat, sekurang-kurangnya saya akan cuba membalas seberapa banyak mesej sokongan yang saya terima. Kepada mereka yang kecewa, kita mesti redha dengan ketetapan dan hikmah di sebaliknya. Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita.

“Sekali lagi, terima kasih yang tidak terhingga dari lubuk hati saya,” katanya dalam hantaran itu.

BACA: Pemilihan PKR: Rafizi Sedia Letak Jawatan Dalam Kabinet Jika Kalah

Semalam, Keputusan pemilihan bagi jawatan sesi 2025-2028 tersebut diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa di Kongres Nasional 2024/2025 yang bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada.

Keputusan itu menyaksikan Nurul Izzah Anwar berjaya menewaskan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan mendapat 9,803 undi.

Sumber: Facebook Rafizi Ramli