Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Cara Mohon Biasiswa MCMC LEGASI & Biasiswa MCMC CARE

Hannah
cara mohon biasiswa mcmc
Gambar: AI/ImageFX

Cara Mohon Biasiswa MCMC LEGASI & Biasiswa MCMC CARE

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) buat julung kalinya memperkenalkan dua program biasiswa baharu iaitu Biasiswa MCMC LEGASI dan Biasiswa MCMC CARE bagi melahirkan bakat masa depan dalam sektor komunikasi dan multimedia (C&M) yang kian pesat membangun.

Kedua-dua biasiswa ini menawarkan pembiayaan penuh pengajian serta pendedahan industri secara berstruktur dalam bidang seperti telekomunikasi, media, dasar pengawalseliaan, keselamatan siber dan Internet of Things (IoT).

Inisiatif ini mencerminkan komitmen jangka panjang MCMC dalam membangunkan bakat tempatan yang berkemahiran tinggi serta menyokong kemajuan digital negara melalui peluang berasaskan merit dan keperluan.

Mengenai Biasiswa MCMC LEGASI

Biasiswa MCMC LEGASI (Leaders of the Next-Generation Scholarship) merupakan biasiswa berasaskan merit yang ditawarkan kepada pelajar cemerlang yang mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang berkaitan komunikasi dan multimedia di universiti terkemuka sama ada dalam atau luar negara.

Selain pembiayaan penuh bagi yuran pengajian dan kos sara hidup, program ini turut menawarkan penempatan latihan industri serta jaminan pekerjaan di MCMC.

Penerima biasiswa akan didedahkan kepada bidang seperti pembangunan peraturan, infrastruktur digital, inovasi dasar, dan keselamatan rangkaian.

Mereka juga akan menerima latihan dan pensijilan dalam pelbagai kemahiran bagi memastikan mereka bersedia untuk memimpin sektor ini selepas tamat pengajian.

Mengenai Biasiswa MCMC CARE

Biasiswa MCMC CARE merupakan biasiswa berasaskan keperluan yang bertujuan membantu pelajar berpotensi tinggi daripada komuniti yang kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda di universiti awam tempatan.

Selain bantuan kewangan penuh, para penerima biasiswa juga akan mendapat peluang menjalani latihan industri di MCMC.

Langkah Mohon Biasiswa MCMC

1. Akses ke portal biasiswa

  • Untuk memulakan permohonan biasiswa, anda perlu melayari laman web MCMC di sini.

  • Klik pada butang MCMC LEGASI atau MCMC CARE.

  • Pilih Apply Now (Mohon Sekarang)

Anda kemudian akan diarahkan ke halaman log masuk Portal Biasiswa MCMC.

2. Pendaftaran kali pertama

Jika anda merupakan pengguna baharu, anda perlu mendaftar terlebih dahulu sebelum membuat permohonan. Pada halaman log masuk, klik “Click here to register” dan masukkan alamat emel anda untuk tujuan pengesahan OTP.

Seterusnya, semak emel anda dan masukkan kod OTP 4 digit yang diterima, kemudian klik “Verify and Proceed” untuk meneruskan.

Selepas itu, lengkapkan maklumat pendaftaran yang diminta seperti nama, alamat emel dan nombor telefon.

Pastikan anda menandakan kotak persetujuan terhadap Terma dan Syarat sebelum menekan butang “Register”.

Setelah pendaftaran berjaya, satu mesej pengesahan akan dipaparkan, dan maklumat log masuk akan dihantar ke emel yang telah anda daftarkan.

3. Log Masuk

Log masuk ke Portal Biasiswa MCMC menggunakan maklumat pengenalan yang telah dihantar ke e-mel anda.

Selepas log masuk, anda akan dibawa ke Halaman “Selamat Datang”, di mana anda boleh melihat dua biasiswa yang ditawarkan:

  • MCMC LEGASI

  • MCMC CARE

Klik “View Details” untuk mengakses kriteria kelayakan, panduan permohonan dan maklumat program.

4. Mengemukakan permohonan

Untuk mengemukakan permohonan biasiswa, anda perlu klik butang “Apply Now” di bawah kategori biasiswa yang dipilih bagi memulakan proses permohonan.

Seterusnya, isikan semua maklumat yang diperlukan dengan lengkap dan muat naik dokumen sokongan yang diminta.

Setelah selesai, anda dikehendaki membaca dan bersetuju dengan pengisytiharan yang disediakan.

Akhir sekali, tandatangani permohonan secara digital dan hantar permohonan anda untuk diproses.

Pastikan semua maklumat dan dokumen adalah tepat dan lengkap sebelum menghantar permohonan.

Maklumat Permohonan

Permohonan bagi kedua-dua program biasiswa ini akan dibuka hari ini, iaitu 24 Jun 2025 hingga 24 Julai 2025. Penerima biasiswa yang berjaya akan dihubungi pada Ogos 2025.

Sebarang makluman terkini akan dikongsikan menerusi platform media sosial rasmi MCMC.

Untuk maklumat lanjut berkaitan syarat kelayakan dan permohonan dalam talian, anda boleh klik di sini.

BACA: 11 Negara Paling Selamat Berlindung Jika Perang Dunia Ke-3 Meletus

BACA: Mudah Je, Ini Cara Isi Minyak Di Petronas Guna TNG eWallet

BACA: Lelaki Ziarah Pusara Ibu, ‘Borak’ Guna Bahasa Isyarat Undang Rasa Sebak

Sumber: MCMC