Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Untuk Pengguna Perodua, Ini Risiko Jika Tertekan ‘Push Start Button’ Ketika Memandu

Athirah
Tertekan ‘Push Start Button’
Kredit: @izz_perodua.jb via TikTok

Untuk Pengguna Perodua, Ini Risiko Jika Tertekan ‘Push Start Button’ Ketika Memandu

Seiring dengan perkembangan teknologi automotif, kereta moden kini semakin beralih kepada sistem penghidup enjin berasaskan push start button.

Dengan teknologi ini, pengalaman memandu menjadi lebih selesa, efisien, dan selamat, selaras dengan keperluan gaya hidup masa kini.

Tidak dinafikan, sistem ‘push start button’ amat memudahkan orang ramai, namun apa yang akan berlaku sekiranya butang ini tertekan secara tidak sengaja ketika sedang memandu?

Situasi sebegini menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan pemandu dan penumpang, kerana fungsi enjin mungkin terjejas atau kereta berhenti secara tiba-tiba jika sistem tidak dilengkapi mekanisme keselamatan yang efektif.

Baru-baru ini, seorang pengguna TikTok, @izz_perodua.jb berkongsi satu penerangan ringkas apa yang terjadi jika pengguna jenama kenderaan tempatan itu berhadapan dengan situasi tersebut.

Jangan panik, ini yang akan terjadi

Menerusi video yang dikongsikan, @izz_perodua.jb dilihat memandu sebuah Myvi Facelift model Advance bagi menunjukkan apa yang akan berlaku sekiranya pemandu atau penumpang menekan butang itu.

Butang ‘push start’ dapat dilihat diletakkan di sebelah kiri pemandu, dan boleh dicapai oleh penumpang hadapan pada kereta jenis Myvi, Alza, Axia dan Ativa model baharu.

Kelihatan enjin kereta yang dipandu oleh @izz_perodua.jb tidak mati walaupun butang push start ditekan berkali-kali.

Bagaimanapun, ia akan mati secara automatik sekiranya butang tersebut ditekan secara laju sebanyak tiga kali.

“Sistem ini diwujudkan bagi tujuan keselamatan sekiranya pemandu mengalami sawan atau kejang semasa memandu.

“Jadi penumpang di sebelah boleh menghentikan kenderaan dengan menekan butang secara laju sebanyak tiga kali,” katanya.

Video berdurasi 1:46 minit memaparkan dalam keadaan enjin mati, kereta akan bergerak perlahan dan masih lagi boleh dikawal dengan menggunakan stereng dan pedal brek berfungsi sepenuhnya.

Sekiranya enjin telah mati, kereta dapat dihidupkan semula setelah ia berhenti sepenuhnya dan gear telah diletakkan pada bahagian ‘P’.

Menurut @izz_perodua.jb, pengguna hanya perlu hidupkan seperti biasa, pijak pedal brek dan tekan butang ‘push start’.

BACA: Selalu Selamatkan Orang, Kali Ini Bomba Pula ‘Terperangkap’ Dalam Lif

Sumber: @izz_perodua.jb via TikTok