Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

31 Diselamatkan, 4 Mayat Ditemukan Selepas Bot Pelancong Karam Di Laut Merah

Bot pelancong karam Laut Merah
Gambar: Agensi via Sinar Harian

31 Diselamatkan, 4 Mayat Ditemukan Selepas Bot Pelancong Karam Di Laut Merah

KAHERAH (Bernama-AA) — Pihak berkuasa Mesir berkata pada Selasa bahawa empat mayat telah ditemukan dan 31 orang diselamatkan selepas sebuah bot pelancong karam di pantai Laut Merah negara itu.

Bot berkenaan membawa 44 orang, termasuk 31 warga asing dalam satu pelayaran untuk aktiviti menyelam apabila ia karam berhampiran bandar pesisir pantai Marsa Alam pada awal pagi Isnin, lapor Agensi Anadolu.

Pihak berkuasa tempatan menerima isyarat kecemasan daripada bot berkenaan pada pukul 5.30 pagi waktu tempatan semasa pelayaran untuk menyelam.

“Sebanyak 31 orang telah diselamatkan setakat ini dan empat mayat ditemukan,” kata Gabenor Laut Merah, Amr Hanafi, dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan kewarganegaraan mangsa yang mayat mereka ditemukan.

Gabenor itu berkata tiga orang diselamatkan pada Selasa, termasuk dua warga Belgium.

“Usaha masih diteruskan untuk mencari sembilan lagi yang hilang,” katanya.

Menurut gabenor, 31 warga asing dari Amerika Syarikat, Jerman, United Kingdom, Poland, Belgium, Switzerland, Finland, China, Slovakia, Sepanyol, dan Ireland berada di atas bot itu semasa ia karam.

Beliau berkata siasatan sedang dijalankan bagi menentukan punca kemalangan itu.

Laut Merah adalah destinasi menyelam popular bagi pelancong di Mesir kerana terumbu karang dan kehidupan marinnya.

BACA: Ekonomi Digital Malaysia Cecah AS$31 bilion Pada 2024 – Laporan

BACA: Lelaki Islam Wajib Tinggal, Tutup Sementara Premis Perniagaan Ketika Solat Jumaat

BACA: 85 Peratus Penjawat Awam Telah Tandatangan Opsyen SSPA – KSN

Sumber: BERNAMA