Petron Malaysia sememangnya dikenali dengan penekanan terhadap aspek kebersihan dan keselesaan, khususnya dalam memastikan kemudahan tandas di stesen minyak sentiasa bersih, terjaga dan selesa untuk digunakan oleh orang ramai.
Ini terbukti apabila Petron menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR), atas pencapaian jumlah stesen minyak tertinggi di Malaysia yang memperoleh penarafan kebersihan tandas empat dan lima bintang.
Penilaian tersebut diberikan oleh pihak berkuasa tempatan, manakala pengiktirafan MBOR pula, telah mendapat sokongan dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).


“Pengiktirafan yang diberikan ini mencerminkan komitmen berterusan sektor swasta dalam meningkatkan standard kebersihan tandas dan keselesaan pengguna,” menurut Facebook KPKT Malaysia.
Majlis pengiktirafan tersebut dihadiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, sebagai tanda sokongan KPKT terhadap usaha dalam memperkukuh budaya kebersihan serta meningkatkan lagi kualiti kemudahan awam yang ada di seluruh negara.
Berdasarkan penilaian yang dibuat pada Jun 2025, sebanyak 560 stesen minyak Petron, bersamaan dengan 86 peratus daripada keseuruhan rangkaiannya ketika itu, berjaya memperoleh penarafan empat dan lima bintang.
Menurut KPKT, pencapaian semasa turut menunjukkan peningkatan kepada 91 peratus, hasil usaha berterusan dalam aspek kebersihan, penyelenggaraan dan keselesaan pengguna.


KPKT berkata pihaknya mengalu-alukan kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta dalam membudayakan kebersihan tandas sebagai tanggungjawab bersama.
“Kemudahan tandas yang bersih, selamat dan selesa bukan sahaja dapat mencerminkan kualiti perkhidmatan, malah turut melambangkan budaya sivik yang diterapkan, serta komitmen yang diberikan terhadap kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

