Sebanyak 596 kes baharu tuberkulosis atau tibi (TB) direkodkan di seluruh negara sehingga Minggu Epidemiologi Keenam bagi tahun ini (ME 6/2026).
Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dimuat naik di laman Facebook itu, angka tersebut menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 3,161 kes.
Berdasarkan data yang dikongsi, Sabah mencatatkan kes tertinggi dengan jumlah kes sebanyak 755 dengan 20.08 kadar insiden.
Di Selangor, sebanyak 596 kes dicatatkan dengan kadar insiden 8.05 diikuti Sarawak dengan catatan 332 kes.
“Johor mencatatkan sebanyak 280 kes manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatatkan 244 jumlah kes.
“Sebanyak 181 kes dicatatkan di Kedah dan 172 kes dicatatkan di Pulau Pinang. Di Perak, sebanyak 154 kes dicatatkan setakat ini,” ujar KKM.
Menerusi maklumat yang didedah, sebanyak 121 kes dicatatkan di Kelantan setakat ini manakala 103 kes dicatatkan di Pahang.
KKM turut mengesan sebanyak 74 kes di Terengganu, 62 kes di Negeri Sembilan dan 48 kes di Melaka.
Perlis mencatatkan jumlah kes kedua terendah dengan 21 kes, manakala Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan jumlah kes terendah iaitu 18 kes.
Ramadan bukan punca peningkatan kes tibi Minggu Epidemiologi Keenam
Biarpun terdapat peningkatan kes, pihak KKM menegaskan Ramadan bukan merupakan punca kepada penularan TB.
“Peningkatan aktiviti sosial dan perhimpunan sepanjang bulan ini secara umunya meningkatkan interaksi dalam kalangan masyarakat,” jelas KKM.
Susulan itu, KKM menyarankan agar orang ramai mengamalkan etika batuk dan bersin yang betul serta memastikan pengudaraan yang baik di ruang tertutup.
Individu yang bergejala atau berada di tempat yang sesak juga dinasihat memakai pelitup muka.
“Pendekatan berasaskan kesedaran komuniti ini amat penting bagi memastikan pengesanan awal, rawatan yang berkesan serta pencegahan penularan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
“Dengan kesedaran dan tindakan bersama, kita mampu memastikan Ramadan disambut dalam keadaan selamat, sihat dan sejahtera,” maklum kementerian tersebut.

