Selepas hampir setahun, Apple kembali dengan model terbaharu, iPhone 18 Pro dan iPhone 18 Pro Max.
Diperkenalkan secara rasmi pada Khamis waktu Malaysia, kedua-dua model itu hadir dengan sistem kamera profesional paling canggih pernah diperkenalkan pada iPhone, selain peningkatan besar dari segi ketahanan bateri dan prestasi.
Kamera utama 48MP Fusion kini hadir dengan apertur boleh laras, sekali gus memberikan lebih banyak kawalan kepada pengguna ketika merakam gambar.
Selain itu, ciri Pro Controls baharu pula membolehkan pengguna menyesuaikan tetapan kamera mereka menerusi aplikasi Camera.
Kedua-dua model turut menampilkan Dynamic Island yang lebih kecil dan lebih berguna, selain cip A20 Pro serta sistem vapor chamber generasi baharu yang menawarkan prestasi berterusan tertinggi dalam sejarah iPhone.
iPhone 18 Pro Max juga menawarkan peningkatan jangka hayat bateri terbesar pernah dicatatkan pada iPhone hasil kemajuan cip Apple dan penggunaan bateri yang lebih besar.
Dengan iOS 27, Apple Intelligence dan Siri AI, model iPhone 18 Pro turut membawakan keupayaan kecerdasan buatan yang lebih berkuasa bersama konteks peribadi, menjadikannya sebuah hab peribadi pintar dengan privasi dan keselamatan sebagai teras utama.

iPhone 18 Pro dan iPhone 18 Pro Max ditawarkan dalam empat pilihan warna elegan iaitu hitam, perak, glacier serta warna baharu burgundy.
“Dengan iPhone 18 Pro, kami melakukan kemajuan dalam aspek yang paling penting kepada pengguna kami iaitu kamera, prestasi, bateri dan kecerdasan.
“Kami bukan sekadar melakukan peningkatan kecil dalam aspek-aspek ini, sebaliknya membuat lonjakan besar untuk menghasilkan iPhone Pro terbaik pernah kami bangunkan,” kata Naib Presiden Kanan Pemasaran Seluruh Dunia Apple, Greg Joswiak.

Menurutnya, iPhone 18 Pro memudahkan sesiapa sahaja merakam gambar dan video menggunakan apertur boleh laras, selain menawarkan lebih fleksibiliti kepada pencipta kandungan serta lebih kawalan kepada pengguna profesional.
“Digabungkan dengan peningkatan besar pada Photographic Styles dan keupayaan video yang berkuasa, iPhone 18 Pro membuka cara baharu untuk pengguna mengekspresikan kreativiti mereka,” katanya.
Ditawarkan dalam kapasiti storan 256GB, 512GB, 1TB dan 2TB, berikut harga kedua-dua model berkenaan:
iPhone 18 Pro
256GB - RM5,499
512GB- RM6,499
1TB - RM8,499
2TB - RM11,499
iPhone 18 Pro Max
256GB - RM5,999
512GB - RM6,999
1TB - RM8,999
2TB - RM11,999
Pra-tempahan bagi kedua-dua model itu di Malaysia akan dibuka bermula jam 8 malam pada 12 September, sebelum ia tersedia secara rasmi di pasaran pada 18 September.

