AS Dakwa Telah Tenggelamkan Lebih 30 Kapal Milik Iran
Amerika Syarikat (AS) mendakwa bahawa telah menenggelamkan lebih daripada 30 kapal Iran semasa perang yang sedang berlangsung, lapor AFP.
Ketua Markas Pemerintahan Pusat (CENTCOM) AS, Laksamana Brad Cooper dalam satu sidang media berkata serangan peluru berpandu balistik dan dron oleh Iran pula telah menurun dengan ketara.
“Kami kini telah (mengaramkan) lebih 30 buah kapal, dan dalam beberapa jam yang lalu, kami telah menyerang sebuah kapal pengangkut dron Iran yang saiznya hampir menyamai kapal pengangkut pesawat Perang Dunia Kedua.
“Ketika kita sedang bercakap ini, kapal tersebut sedang terbakar
“Manakala peluru berpandu balistik Iran telah berkurangan sebanyak 90 peratus sejak hari pertama.
“Serangan dron pula telah menurun sebanyak 83 peratus sejak hari pertama,” kata beliau yang bertanggungjawab ke atas pasukan AS di Timur Tengah.
Sejak 28 Februari lalu, AS bersama Israel telah melancarkan serangan udara besar-besaran terhadap Iran.
Susulan itu, Iran telah membalas dengan melancarkan gelombang dron penyerang dan peluru berpandu ke arah markas AS di negara-negara lain di rantau tersebut.
Jelasnya lagi, dua matlamat utama Washington yang dinyatakan bagi misi menentang Iran ini adalah memusnahkan keupayaan peluru berpandu balistik dan tentera laut Iran.
Misi ini dinamakan oleh AS sebagai “Operation Epic Fury” (Operasi Amukan Epik).
Cooper berkata AS bukan sahaja menyasarkan peluru berpandu Iran, tetapi juga berusaha untuk melumpuhkan pangkalan industri peluru berpandu balistik Iran.
“Sambil kami beralih ke fasa seterusnya dalam operasi ini, kami akan melumpuhkan keupayaan pengeluaran peluru berpandu Iran untuk masa hadapan secara sistematik,” ujarnya.
