Utama

Berita

Berita

Sukan

Politik

Berita

Berita

Berita

Berita

Sukan

Politik

Berita

Berita

AS Keluarkan Amaran ‘Waspada Seluruh Dunia’ Kepada Rakyatnya
Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) pada Ahad mengeluarkan amaran keselamatan global kepada semua rakyatnya susulan konflik yang semakin memuncak di Timur Tengah yang dijangka boleh meningkatkan risiko keselamatan kepada mereka yang sedang melancong atau menetap di luar negara.
“Konflik antara Israel dan Iran telah menyebabkan gangguan perjalanan serta penutupan ruang udara secara berkala di seluruh wilayah Timur Tengah. Terdapat juga potensi berlakunya demonstrasi terhadap warganegara dan kepentingan AS di luar negara.
“Jabatan Negara menasihatkan semua warganegara AS di seluruh dunia supaya meningkatkan langkah berjaga-jaga,” menurut amaran keselamatan yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara itu.
Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyentuh langsung mengenai tindakan ketenteraan AS apabila pesawat-pesawat tentera AS mengebom kemudahan nuklear Iran, satu tindakan yang menurut pihak Tehran akan membawa “akibat yang tidak dapat dipulihkan”.
Pada Ahad, Iran mengancam akan menyerang pangkalan tentera AS di Timur Tengah dan memberi amaran bahawa pasukan tentera AS berkemungkinan menjadi sasaran balas berikutan serangan udara yang belum pernah berlaku sebelum ini, yang menurut Pentagon telah memusnahkan program nuklear Iran.
“Mana-mana negara di rantau ini atau di tempat lain yang membenarkan pasukan tentera AS menggunakan wilayah mereka untuk menyerang Iran akan dianggap sebagai sasaran sah oleh angkatan bersenjata kami,” kata Ali Akbar Velayati, penasihat kepada Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dalam kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita rasmi IRNA.
Pada Sabtu, AS telah memulakan penerbangan pemindahan dari Israel untuk membawa keluar rakyat AS dan penduduk tetap AS yang menetap di Israel atau Tebing Barat.
AS juga telah mengarahkan kakitangan di misi diplomatiknya di Iraq dan Lubnan supaya meninggalkan kedua-dua negara tersebut.
BACA: PBB Beri Amaran Tentang Kitaran Tindakan Balas Selepas AS Bom Iran
Sumber: AFP