Sebuah pesawat Malaysia Airlines yang dalam penerbangan menuju Kuala Lumpur terpaksa membatalkan proses berlepas di Lapangan Terbang Narita dekat Tokyo, pagi ini, akibat masalah teknikal pada pesawat.
Kementerian Pengangkutan Jepun memaklumkan tiada kecederaan dilaporkan membabitkan kesemua 162 penumpang dan anak kapal.
Asap hitam keluar
Asap hitam dilaporkan kelihatan keluar dari pesawat jenis Airbus A330 ketika ia sedang bergerak menuju salah satu landasan lapangan terbang berkenaan kira-kira 10.40 pagi waktu tempatan.
Pesawat yang beroperasi sebagai MH89 dipercayai mengalami masalah pada enjin sebelah kiri, menurut pejabat cawangan Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun di lapangan terbang itu.
Susulan kejadian, landasan berkenaan ditutup kira-kira dua jam setengah bagi membolehkan pemeriksaan dan kerja-kerja berkaitan dijalankan.
Beberapa serpihan yang dipercayai bahagian pesawat yang tertanggal turut ditemukan di kawasan sekitar lapangan terbang, menurut kementerian berkenaan.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

