Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Bapa Sedih Anak Maut Kereta Terjunam Dalam Sungai 

Iqbal Yasir
Anak Maut terjunam sungai
Gambar: Video tular

Bapa Sedih Anak Maut Kereta Terjunam Dalam Sungai

TUMPAT, 29 Julai (Bernama) — Luluh hati seorang bapa apabila mengetahui anaknya maut selepas kereta yang dinaiki terjunam ke dalam sungai dekat Kampung Telok Jering, di sini, kira-kira 12 tengah hari tadi.

Abdul Aziz Che Hak 60-an berkata dia mengetahui kejadian yang menimpa anaknya Che Azizi Shah, 32, itu selepas dimaklumkan oleh kenalannya, sebelum terus bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata kejadian itu berlaku ketika anaknya ingin pulang ke rumah yang terletak di Kampung Cherang Melintang, selepas memancing bersama rakannya di Kuala Jambu.

“Anak saya menghidap penyakit asma sejak kecil dan memerlukan pam lelah hampir setiap hari. Saya mengetahui arwah pergi memancing menggunakan kereta Pajero milik saya, namun tidak pasti dia keluar dari rumah pada pukul berapa.

“Saya reda dengan apa yang terjadi dan berharap segala urusan dapat diselesaikan secepat mungkin agar jenazah dapat dikebumikan segera,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Teluk Jering.

Sementara itu, saksi kejadian Nazma Abdul Rahman, 39, pula berkata ketika kejadian dia sedang membuat persiapan untuk membuka warung miliknya, yang terletak kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.

“Saya lihat kereta berkenaan dipandu pada kelajuan biasa, sebelum tiba-tiba terdengar dentuman yang agak kuat dan terkejut melihat kereta itu melanggar jambatan lalu terjatuh ke dalam sungai.

“Anak saudara saya, Ayman Afnan Zamri, 24, yang berada dilokasi cuba menyelamatkan mangsa dengan terjun ke dalam sungai, namun tidak berjaya disebabkan pintu kereta berkunci,” katanya yang menambah beberapa penduduk turut membantu membawa mangsa naik ke darat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat ACP Mohd Khairi Shafie mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit dan mayat mangsa di bawa ke Unit Forensik Hospital Tumpat untuk bedah siasat.

Terdahulu, tular di media sosial dan aplikasi Whatsapp video berdurasi 40 saat mengenai sebuah kereta terjunam ke dalam sungai selepas melanggar penghadang besi jambatan di Kampung Telok Jering.

BACA: Kanak-Kanak 4 Tahun Maut Dipercayai Jatuh Dari Tingkat 16

BACA: Sebuah Maahad Tahfiz Dua Tingkat Di Jitra Musnah Terbakar

BACA: Tiga Buah Kilang Perabot Musnah Dijilat Api

Sumber: BERNAMA