Bagi sesetengah warga emas, aktiviti fizikal yang berat mungkin mencabar, namun Rosemina Hamzah membuktikan usia bukan penghalang untuk terus aktif.
Pada usia 73 tahun, wanita dari Singapura itu berjaya mengangkat beban seberat 67.5 kilogram dalam acara angkat berat deadlift.
Menerusi beberapa hantaran di Instagram, anaknya Maryam Rahman berkongsi kejayaan ibunya yang turut mencatat rekod peribadi baharu menerusi angkatan tersebut.
Warga Emas Angkat Berat

Lebih membanggakan, Rosemina yang mesra dipanggil Cik Rose turut muncul sebagai juara dalam kategori angkat berat wanita berusia 70 tahun ke atas.
Menurut Maryam, kejayaan ibunya itu menjadi antara detik bermakna sepanjang perjalanan mereka berkongsi aktiviti kecergasan menerusi platform media sosial.
Menerusi perkongsian tersebut, Maryam turut meluahkan rasa gembira kerana dapat berkongsi pencapaian ibunya dengan orang ramai, sekali gus menyampaikan mesej positif tentang kecergasan.
“Detik macam ini yang mengingatkan saya kenapa kami mulakan perjalanan ini di TikTok.
“Untuk buktikan yang kekuatan tiada had umur, yang kita tidak pernah lewat untuk mencuba dan orang biasa boleh capai benda luar biasa,” katanya.
Maryam turut berharap perkongsian menerusi akaun dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai orang untuk mula aktif tanpa menjadikan usia sebagai alasan.

