Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Bila sebut tentang peralatan dapur, keluli tahan karat (stainless steel) menjadi salah satu bahan yang sering digunakan oleh orang ramai.
Daripada sudu, periuk, botol air hinggalah bekas makanan, bahan tersebut menjadi pilihan kerana sifatnya yang tahan lasak dan mudah dicuci.
Namun, keluli tahan karat juga sebenarnya mempunyai gred yang berbeza untuk pelbagai tujuan yang berbeza.
Pernah tertanya macam mana nak tahu gred tersebut? Sebenarnya anda boleh melihat nombor yang tertera pada alatan keluli tahan karat sebagai indikator.
Jika ada yang pernah perasan, terdapat beberapa nombor yang tertera pada peralatan tersebut seperti 304, 316, 18/8, 18/10 dan banyak lagi.
Untuk pengetahuan, tanda seperti 18/8 dan 18/10 menunjukkan anggaran kandungan kromium dan nikel dalam keluli tahan karat tersebut.
Sebagai contoh, 18/8 biasanya mengandungi kira-kira 18 peratus kromium dan 8 peratus nikel manakala 18/10 pula mengandungi kira-kira 18 peratus kromium dan 10 peratus nikel.
Kromium dan nikel merupakan antara unsur pengaloian penting dalam penghasilan keluli tahan karat.
Menariknya, kromium membantu membentuk lapisan pelindung nipis pada permukaan logam yang mengurangkan risiko pengoksidaan dan kakisan.
Sementara itu, nikel membantu meningkatkan kemuluran, ketahanan kakisan serta memberikan kemasan yang lebih berkilat.
Keluli tahan karat 18/8 dan 18/10 lazimnya dikaitkan dengan Gred 304 yang merupakan sebahagian daripada siri 300.
Selain kromium dan nikel, keluli tahan karat Gred 304 turut mengandungi sejumlah kecil karbon, lazimnya tidak melebihi sekitar 0.08 peratus, manakala selebihnya terdiri daripada besi dan unsur lain.

Sementara itu, keluli tahan karat siri 300 diklasifikasikan sebagai jenis austenit dan boleh ditingkatkan kekuatannya melalui kaedah pengerjaan sejuk.
Ia mempunyai ketahanan kakisan yang baik, mudah diselenggara serta mampu mengekalkan sifat mekanikalnya pada suhu tinggi.
Kadangkala, anda juga akan melihat tanda 18/0 yang bermaksud keluli tersebut mengandungi kira-kira 18 peratus kromium tetapi hampir tiada nikel.
Keluli seperti ini lazimnya dikaitkan dengan siri 400, termasuk Gred 430.
Berbanding Gred 304, Gred 430 biasanya mempunyai tahap ketahanan kakisan yang lebih rendah dan bersifat magnetik.Bekas makanan daripada keluli tahan karat pula sering diperbuat daripada keluli siri 200.
Ia biasanya merupakan pilihan yang lebih murah berbanding Gred 304 kerana kandungan nikel digantikan dengan mangan.
Keluli tahan karat Gred 200 masih selamat digunakan untuk makanan, namun kualiti dan ketahanan kakisannya tidak setanding Gred 304.

Pemilihan gred keluli tahan karat sebenarnya bergantung pada bagaimana anda ingin gunakannya.
Jika anda mempunyai alahan atau sensitif terhadap nikel atau sedang mencari pilihan yang lebih mesra bajet, keluli tahan karat 18/0 merupakan pilihan yang baik.
Kandungan kromium sebanyak 18 peratus memberikan ketahanan kakisan yang memadai, namun tahap ketahanannya masih tidak setanding 18/8.
Selain itu, jika anda mahukan bahan yang lebih tahan terhadap kakisan, karat dan kesan kotoran atau inginkan kemasan yang lebih berkilat dan kelihatan lebih kemas, keluli tahan karat 18/8 merupakan pilihan yang lebih sesuai.
Keluli tahan karat 18/8 juga lebih tahan apabila digunakan dalam persekitaran yang kerap terdedah kepada kelembapan atau asid daripada makanan.