Pernah mencipta ‘matahari’ sendiri, China dilaporkan telah berjaya ‘mengubahsuai’ cuaca menjelang sambutan ulang tahun politik terbesar negara itu awal tahun ini, lapor The Guardian.
Kertas penyelidikan dari Universiti Tsinghua mendedahkan bahawa parti Komunis China telah meraikan ulang tahun ke-100 pada 1 Julai yang lalu, dengan kehadiran seramai puluhan ribu orang dalam satu majlis di Dataran Tiananmen.
Operasi pembenihan awan yang meluas dalam hanya beberapa jam sebelum majlis berlangsung dipercayai telah dilakukan bagi memastikan langit kelihatan cerah dan kurang pencemaran udara.
Difahamkan, kerajaan China sebelum ini juga telah membelanjakan berbilion dolar untuk usaha memanipulasi cuaca bagi melindungi kawasan pertanian atau menambah baik acara penting termasuk Sukan Olimpik 2008.
Untuk pengetahuan, pembenihan awan ialah teknik ubahsuai cuaca dengan penambahan bahan kimia seperti iodida perak ke dalam awan dan menyebabkan titisan air berkumpul di sekelilingnya dan meningkatkan peluang pemendakan.
Dalam pada itu, hasil penyelidikan juga mendapati operasi pembenihan awan itu telah menghasilkan penurunan ketara dalam pencemaran udara.
Para penyelidik berkata hujan buatan yang dihasilkan mengurangkan tahap pencemaran udara PM2.5 lebih daripada dua pertiga dan mengalihkan bacaan indeks kualiti cuaca berdasarkan piawaian Pertubuhan Kesihatan Dunia.
Akhbar South China Morning Post melaporkan bahawa sambutan 100 tahun itu adalah cabaran yang tidak pernah berlaku sebelum ini termasuk langit menjadi mendung ketika musim panas.
Sumber: The Guardian