Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

"Dari 5Kg Jadi 7Kg," Lelaki Kongsi Haiwan Peliharaan Gemar Makan Ikan Bandaraya
Ikan bandaraya merupakan sejenis ikan air tawar yang mudah dikenali melalui bentuk badannya yang keras serta mulut penyedut di bahagian bawah.
Spesies ini biasanya ditemui melekat pada batu, dinding sungai atau dasar kolam kerana sifatnya yang memakan lumut, alga dan sisa organik di dalam air.
Ramai juga yang mengenalinya sebagai ikan yang “membersihkan” dasar air kerana tabiat makannya yang menyedut kotoran dan lumut.
Dalam kalangan masyarakat tempatan, ikan bandaraya sering dianggap kurang bernilai berbanding jenis ikan lain seperti ikan kembung atau sardin.
Baru-baru ini, tular sebuah video di media sosial memaparkan seorang lelaki yang memberi haiwan peliharaannya makan ikan bandaraya.
Menerusi video yang dikongsikan oleh @toktuahchannelhaziq di Threads, kelihatan dua ekor kucing dan seekor musang pandan tidak sabar menunggu makanan yang disediakan.

Dalam hantaran tersebut, lelaki berkenaan turut menjelaskan bahawa haiwan peliharaannya lebih gemar makan ikan bandaraya berbanding isi ikan lain seperti ikan kembung atau sardin.
Menurutnya lagi, kucing miliknya telah mengalami perubahan berat badan selepas kerap diberi ikan tersebut.
“Dari 5 kilogram jadi 7 kilogram,” katanya.
Malah dia turut berkongsi bahawa kucing yang makan ikan bandaraya biasanya akan menjadi lebih gemuk dan berisi.

“Memang kucing-kucing makan ikan bandaraya akan jadi gemuk, kalau kucing kampung atau kucing jalanan tu akan jadi sado dan padat badan,” ujarnya lagi.
Dalam video itu juga, salah seekor kucing berwarna oren dilihat begitu teruja dan tidak sabar menunggu makanan diberikan.
Selain itu, ikan bandaraya tersebut direbus terlebih dahulu sebelum diberikan kepada kucing.
Manakala musang pandan pula diberi makan ikan tersebut secara mentah.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna Threads memberi pelbagai reaksi.
Kebanyakannya kagum dan teruja setelah mengetahui bahawa kucing gemar makan ikan bandaraya.
"Serious lah? Orang asyik panggil ni ikan sampah. Kalau betul ikan sampah ni elok untuk kucing, kami semua pun mau untuk si bulus weh. Jimat kos," komen seorang wargamaya.
"Tolonglah sesiapa yang ada modal commercialize kan isi ikan bandaraya tin sebagai wetfood. Jual lah RM2-3 satu tin. Untuk pemilik kucing kurang berkemampuan," komen seorang lagi warga maya.
