Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Bermula Dari Hobi, Taman Mini Lelaki Ini Kini Jadi “Port” Burung Singgah

TAMAN MINI PORT BURUNG
Kredit: @fairuz.the.explorer via Threads
Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal

Bermula Dari Hobi, Taman Mini Lelaki Ini Kini Jadi “Port” Burung Singgah

Beberapa tahun lalu, ramai yang terpaksa meluangkan lebih banyak masa di rumah susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan berikutan penularan COVID-19.

Walaupun keadaan ketika itu agak mencabar, ada juga yang mengambil peluang untuk mencuba pelbagai perkara baharu bagi mengisi masa terluang.

Ada yang mula memasak, berkebun serta berniaga secara dalam talian. Bukan itu sahaja, malah ada juga menemui minat dan hobi baharu yang tidak pernah disangka sebelum ini.

Taman mini jadi port burung

Baru-baru ini, tular sebuah hantar di media sosial memaparkan seorang lelaki berkongsi minatnya terhadap tanaman hiasan.

Menerusi hantaran yang dikongsikan oleh @fairuz.the.explorer di Threads, lelaki itu menceritakan bahawa semuanya bermula sekitar enam tahun lalu ketika pandemik COVID-19 melanda.

Menurutnya, ketika itulah dia mula belajar teknik pembiakan pokok atau propagation daripada hanya satu pokok sehingga akhirnya menjadi semakin banyak.

Difahamkan, jumlah tanaman yang semakin bertambah membuatkan kawasan rumahnya kelihatan seperti taman kecil sehingga ada orang yang singgah untuk melihat dan bergambar.

Dalam hantaran tersebut, dia turut berkongsi video tanaman hiasannya dengan bunyi burung.

"Bunyi burung tu bukan suntingan. Alhamdulillah duduk di Pahang memang selalu ditemani burung.

“Kadang-kadang burung Tengkiling (spesies Enggang) pun datang singgah dekat lampu jalan tepi rumah," katanya.

Kredit: @fairuz.the.explorer via Threads

Pengalaman menjaga tanaman hiasan

Lelaki berkenaan turut berkongsi beberapa pengalaman yang tidak boleh dilupakan sepanjang enam tahun melakukan hobi menanam tanaman hiasan.

Antaranya apabila seorang lelaki pernah menawarkan sehingga RM500 untuk membeli salah satu pokok miliknya.

"Dia nak beli pokok aku sampai sanggup bayar RM500. Bila aku cakap tak jual, dia terus marah dan pergi. Dia ingat rumah aku nursery kot," katanya berseloroh.

Tambahnya, ketika pandemik dahulu, ada juga tanaman hiasan tertentu yang nilanya mencecah harga ribuan ringgit bagi satu pasu.

Selain itu, dia turut berkongsi pengalaman misteri apabila adiknya pernah terdengar suara seorang wanita memberi salam sekitar jam 2 pagi berhampiran kawasan pokok tersebut.

Menurutnya, perkara itu menyebabkan ibunya meminta agar jumlah pokok dikurangkan. Kini, kebanyakan tanaman sudah dipindahkan atau disimpan di dalam rumah hijau.

Kredit: @fairuz.the.explorer via Threads

Hobi tanam pokok hiasan beri pengajaran

Dalam pada itu, lelaki tersebut berkata bahawa menjaga pokok import sebenarnya banyak mengajarnya tentang disiplin dan ketekunan.

Menurutnya, kesilapan kecil seperti cara penyiraman yang tidak betul boleh menyebabkan pokok mati akibat pereputan akar.

Selain itu, proses mengasingkan akar pokok yang berselirat daripada lumut juga memerlukan kesabaran yang tinggi.

Baginya, pengalaman tersebut turut memberi pengajaran bahawa sesuatu perkara akan bertahan lama jika dijaga dengan baik.

"Kalau kita jaga sesuatu dengan baik, ia akan kekal lama. Sama macam hubungan juga," katanya.

Sumber:Threads