Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Emosi Terganggu, Ini Antara Kesan Bila Ketagih Scroll Telefon

Ketagih Scroll Telefon
Gambar Hiasan

Cuba perhatikan sekeliling anda, berapa ramai yang boleh duduk diam beberapa minit tanpa pegang dan periksa telefon?

Bangun tidur terus cari telefon, makan sambil menonton video, malah sebelum tidur pun masih sibuk scroll media sosial.

Bagi sesetengah orang, telefon bukan lagi sekadar alat untuk berhubung, tetapi sudah menjadi sesuatu yang sentiasa berada di tangan.

Masalahnya, penggunaan telefon yang terlalu kerap boleh mengganggu rutin harian, lebih-lebih lagi apabila seseorang susah untuk berhenti menggunakannya.

Keadaan ini boleh berlaku kepada orang dewasa mahupun kanak-kanak, dengan kesannya bukan sekadar membuang masa.

Kesan Ketagih Scroll Telefon

1. Tidur Tidak Menentu

Waktu tidur adalah antara perkara yang boleh terganggu apabila seseorang terlalu kerap menggunakan telefon.

Niat asalnya cuma mahu tengok satu video sebelum tidur, tetapi akhirnya tersedar sudah berjam-jam scroll telefon.

Menurut Cleveland Clinic, tabiat menatal telefon pada waktu malam boleh mengganggu tidur, terutama apabila seseorang terus melihat media sosial atau kandungan lain tanpa sedar masa berlalu.

Bagi kanak-kanak pula, penggunaan skrin secara berlebihan dikaitkan dengan waktu tidur yang tidak mencukupi dan jadual tidur yang kurang baik.

Sebab itu, ibu bapa boleh menetapkan waktu tertentu tanpa penggunaan skrin, terutama apabila anak sudah menghampiri waktu tidur.

2. Susah Hendak Beri Perhatian

Pernah tengah buat kerja, tiba-tiba tangan automatik capai telefon walaupun tiada apa-apa yang penting?

Tabiat seperti kerap memeriksa telefon boleh membuatkan perhatian mudah terganggu kerana seseorang sentiasa tertarik untuk melihat perkara baharu pada skrin.

Cleveland Clinic turut menyatakan bahawa penggunaan telefon secara berlebihan, terutama apabila seseorang terus menatal kandungan, boleh menyebabkan kesukaran untuk memberi tumpuan.

Bagi kanak-kanak pula, penggunaan media digital secara berlebihan dikaitkan dengan kawalan perhatian yang lebih lemah dan pencapaian sekolah yang lebih rendah.

Bukan bermaksud setiap kanak-kanak yang bermain telefon akan mengalami masalah tumpuan, tetapi penggunaan yang tidak terkawal boleh mengambil masa daripada aktiviti lain yang penting untuk perkembangan mereka.

3. Emosi Boleh Terjejas

Telefon juga boleh mempengaruhi keadaan emosi seseorang, terutama apabila penggunaannya sudah sukar dikawal.

Menurut Cleveland Clinic, terlalu banyak menatal kandungan boleh meningkatkan rasa tertekan dan cemas, selain menyebabkan seseorang berasa letih secara mental.

Dalam kalangan kanak-kanak pula, penggunaan media digital secara berlebihan boleh dikaitkan dengan masalah tidur, tingkah laku dan perkembangan kemahiran sosial serta emosi.

Namun begitu, keadaan ini tidak bermaksud penggunaan telefon menjadi satu-satunya punca kepada masalah emosi atau kesihatan mental kerana banyak faktor lain turut boleh mempengaruhinya.

4. Kurang Bergerak Sebab Terlalu Lama Menghadap Skrin

Kalau masa yang sepatutnya digunakan untuk bermain di luar, bersenam atau melakukan aktiviti lain dihabiskan dengan telefon, masa untuk bergerak juga boleh berkurang.

Bagi kanak-kanak, keadaan ini lebih membimbangkan kerana mereka memerlukan aktiviti fizikal yang mencukupi untuk membesar dengan sihat.

American Academy of Pediatrics menyatakan penggunaan media digital secara berlebihan dalam kalangan kanak-kanak boleh menyebabkan mereka mempunyai kurang masa untuk melakukan aktiviti fizikal, bermain dan meluangkan masa bersama keluarga.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia pula mengesyorkan kanak-kanak kecil mendapatkan masa yang mencukupi untuk bergerak, bermain dan tidur, selain mengehadkan masa skrin ketika tidak aktif.

Sebagai contoh, kanak-kanak berusia tiga hingga empat tahun disarankan melakukan sekurang-kurangnya 180 minit aktiviti fizikal sehari, manakala masa skrin ketika tidak aktif pula tidak sepatutnya melebihi satu jam.

5. Anak Kurang Berinteraksi Dengan Orang Sekeliling

Kanak-kanak belajar banyak perkara melalui bermain, bercakap dan berinteraksi dengan orang lain.

Jika terlalu banyak masa dihabiskan dengan telefon, masa untuk melakukan perkara-perkara tersebut juga boleh berkurang.

American Academy of Pediatrics menyatakan penggunaan media digital secara berlebihan dalam kalangan kanak-kanak kecil dikaitkan dengan kelewatan dalam perkembangan bahasa, pemikiran dan kemahiran sosial.

Mayo Clinic pula menyatakan kanak-kanak kecil lebih banyak belajar melalui interaksi dan bermain bersama ibu bapa, adik-beradik serta kanak-kanak dan orang dewasa lain.

Bagaimanapun, tidak semua penggunaan telefon memberi kesan yang sama kerana sesetengah kandungan boleh digunakan untuk tujuan pembelajaran dan menyokong perkembangan sosial kanak-kanak.

Jadi, Macam Mana Nak Tahu Penggunaan Telefon Sudah Berlebihan?

Sebenarnya, bukan semata-mata tengok berapa jam seseorang menggunakan telefon setiap hari.

Perkara yang lebih penting ialah melihat apa yang berlaku akibat penggunaan tersebut, termasuk sama ada tidur, kerja, pembelajaran, hubungan dengan keluarga atau aktiviti harian mula terganggu.

Cleveland Clinic menyenaraikan beberapa tanda penggunaan telefon atau tabiat menatal sudah mula mengganggu kehidupan, termasuk tidur terjejas, produktiviti merosot dan fikiran tidak tenang.

Kalau seseorang mula tidur lewat kerana telefon, kerja sering terganggu, makan sambil menghadap skrin atau susah hendak meletakkan telefon, mungkin sudah tiba masanya tabiat tersebut diperhatikan semula.

Bagi kanak-kanak pula, ibu bapa boleh perhatikan sama ada penggunaan telefon menyebabkan mereka kurang tidur, kurang bergerak, kurang meluangkan masa bersama keluarga atau susah memberi perhatian kepada perkara lain.

Telefon memang sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan kita, tetapi tidak semestinya setiap masa lapang perlu diisi dengan skrin.

Kadang-kadang, letak telefon jauh-jauh dan biarkan diri bosan sekejap pun bukan perkara yang buruk.

Intipati
  • Penggunaan telefon berlebihan boleh mengganggu tidur, tumpuan, emosi dan rutin harian pengguna.
  • Kanak-kanak berisiko kurang bergerak, kurang tidur dan kurang berinteraksi apabila terlalu lama menghadap skrin.
  • Ibu bapa boleh menetapkan waktu tanpa skrin, terutama menjelang tidur dan aktiviti keluarga.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan