Mungkin ramai ibu bapa pernah berdepan situasi begini, baru sahaja selesai mengambil wuduk, anak pula tiba-tiba ‘bocor’ dan perlu dibersihkan.
Ketika mahu membersihkan anak, kaki pula terpijak najis di tandas, terkena percikan atau berlaku perkara lain yang membuatkan kita tertanya-tanya tentang wuduk.
Jadi, kalau terkena najis selepas mengambil wuduk, adakah wuduk perlu diambil semula?
Terkena Najis Anak Tidak Membatalkan Wuduk
Pendakwah terkenal, Ustazah Asma' menjelaskan, dalam Mazhab Syafi‘i, terkena atau menyentuh najis tidak termasuk dalam perkara yang membatalkan wuduk.
Terdapat empat hadas yang boleh membatalkan wuduk iaitu:
1. Keluar sesuatu daripada qubul atau dubur kecuali mani.
2. Hilang akal kecuali tidur dalam keadaan duduk yang tetap punggungnya pada tempat duduk.
3. Bersentuhan kulit antara lelaki dan perempuan bukan mahram tanpa berlapik berdasarkan perinciannya dalam Mazhab Syafi‘i.
4. Menyentuh qubul atau dubur manusia dengan bahagian dalam tapak tangan berdasarkan perinciannya.
Maka, terkena atau menyentuh najis bukanlah antara perkara yang membatalkan wuduk jadi tak perlu mengambil wuduk semula selagi tidak berlaku perkara lain seperti yang disenaraikan sebelum ini.
Wuduk Masih Sah, Tetapi Najis Perlu Dibersihkan
Walaupun wuduk tidak terbatal, najis yang terdapat pada badan atau pakaian hendaklah dibersihkan sebelum mendirikan solat.
Antara syarat sah solat ialah suci daripada najis yang tidak dimaafkan pada pakaian, badan dan tempat solat, oleh itu perlu dibezakan antara hadas dan najis.
Hadas berkaitan dengan keadaan seseorang yang memerlukan taharah seperti wuduk untuk membolehkannya melakukan ibadah tertentu.
Manakala apabila najis terkena pada badan atau pakaian, najis tersebut perlu dibersihkan sebelum solat, tetapi ia tidak menyebabkan wuduk terbatal dengan sendirinya.

Tangan Terkena Air Kencing Ketika Menukar Lampin Anak
Antara situasi yang sering berlaku ialah seorang ibu atau bapa sudah mengambil wuduk, kemudian tangan terkena air kencing ketika menukar lampin anak.
Dalam keadaan ini, wuduk tidak terbatal hanya kerana terkena air kencing tersebut, tapi anda hanya perlu membersihkan bahagian yang terkena najis sebelum mendirikan solat.
Bagaimana Jika Tersentuh Kemaluan Anak Ketika Membersihkan Najis?
Namun, perlu dibezakan antara terkena najis dengan menyentuh kemaluan anak ketika membersihkannya.
Sekiranya ketika menukar lampin atau membersihkan najis anak, seseorang tersentuh kemaluan anak dengan bahagian dalam tapak tangan secara langsung tanpa berlapik, maka wuduknya terbatal menurut Mazhab Syafi'i.
Justeru, sekiranya ibu atau bapa perlu membersihkan najis anak selepas mengambil wuduk, bukan najis yang menyebabkan wuduk terbatal.
Namun, wuduk boleh terbatal sekiranya dalam proses membersihkan anak itu berlaku sentuhan secara langsung pada kemaluan dengan bahagian tangan yang termasuk dalam hukum sentuhan yang membatalkan wuduk.
Begitu juga sekiranya seseorang terpijak najis selepas mengambil wuduk, dia hanya perlu membersihkan bahagian kaki yang terkena najis dan tidak perlu mengambil wuruk semula selagi tidak berlaku perkara lain yang membatalkan wuduk.
Pakaian Terkena Najis, Adakah Perlu Mengambil Wuduk Semula?
Sekiranya seseorang sudah berwuduk kemudian mendapati pakaiannya terkena najis, perkara tersebut juga tidak membatalkan wuduk.
Namun, pakaian tersebut perlu dibersihkan daripada najis atau ditukar dengan pakaian yang bersih sebelum mendirikan solat.
Ini kerana kesucian daripada najis dan kesucian daripada hadas merupakan dua perkara yang berbeza.
Jadi, seseorang boleh berada dalam keadaan masih mempunyai wuduk, tetapi pada masa yang sama perlu membersihkan najis yang terdapat pada badan atau pakaiannya sebelum mendirikan solat.

Jangan Keliru Antara Najis Dan Hadas
Kekeliruan yang sering berlaku ialah apabila seseorang menganggap setiap kali terkena najis, maka wuduk juga terbatal.
Sedangkan kedua-duanya mempunyai hukum yang berbeza.
Contohnya:
Terpijak najis selepas mengambil wuduk.
Tangan terkena air kencing ketika menukar lampin anak.
Pakaian terkena najis.
Anggota badan tersentuh najis.
Situasi tersebut tidak membatalkan wuduk dengan sendirinya dan najis hanya perlu dibersihkan sebelum mendirikan solat.

