Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Helikopter Pemadam Kebakaran Terhempas Ketika Latihan, Tujuh Maut Di Argentina

ARGENTINA
Kredit: AFP

Helikopter Pemadam Kebakaran Terhempas Ketika Latihan, Tujuh Maut Di Argentina

Tujuh individu maut selepas sebuah helikopter pemadam kebakaran terhempas ketika menjalani penerbangan latihan di Wilayah San Juan, barat Argentina, pada Rabu.

Menurut Firstpost, helikopter jenis Bell 412 itu dijadualkan berlepas ke wilayah berjiran, La Rioja, bagi membantu operasi memadam kebakaran hutan sebelum nahas berlaku di Taman Semula Jadi Ischigualasto.

Pihak berkuasa memaklumkan pesawat berkenaan terputus hubungan dengan pusat kawalan kira-kira jam 10.30 pagi waktu tempatan.

Gabenor San Juan, Marcelo Orrego, berkata pihaknya menerima berita tragedi itu dengan penuh dukacita.

"Dengan penuh rasa sedih, kami menerima berita mengenai nahas helikopter yang berlaku di wilayah kami sehingga meragut tujuh nyawa," katanya menerusi satu hantaran di platform X.

Menurutnya, mangsa terdiri daripada anggota bomba, pegawai polis serta kakitangan agensi perlindungan awam yang sedang menjalankan tugas.

Pihak berkuasa berkata, punca nahas masih dalam siasatan, manakala pasukan penyelamat telah digerakkan ke lokasi kejadian.

Sementara itu, Menteri Keselamatan Argentina, Alejandra Monteoliva, turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

"Saya bersama setiap ahli keluarga dan rakan setugas mereka dalam detik yang penuh kesedihan ini," ujarnya menerusi platform X.

Dalam perkembangan sama, wartawan tempatan, Mauricio Davila, yang juga rakan kepada salah seorang mangsa, anggota polis German Videla, berkata beliau sempat berhubung dengan mangsa kira-kira sejam sebelum nahas berlaku.

Menurutnya, berdasarkan maklumat daripada pasukan penyelamat di lokasi kejadian, helikopter tersebut berkecai teruk akibat impak kemalangan.

Susulan tragedi itu, kerajaan Wilayah San Juan mengisytiharkan tempoh berkabung selama tiga hari dengan bendera kebangsaan dan wilayah dikibarkan separuh tiang sebagai tanda penghormatan kepada mangsa.

Menurut Firstpost, helikopter berkenaan sepatutnya menyertai operasi memadam kebakaran hutan di La Rioja, yang berdepan beberapa kebakaran di kawasan pergunungan sejak awal minggu ini.

Pasukan bomba tempatan berkata, kebakaran tersebut telah memusnahkan ratusan hektar kawasan hutan dalam tempoh tiga hari lalu.

Intipati
  • Helikopter Bell 412 terhempas di Taman Semula Jadi Ischigualasto ketika penerbangan latihan.
  • Mangsa terdiri daripada anggota bomba, pegawai polis dan kakitangan agensi perlindungan awam.
  • San Juan mengisytiharkan berkabung tiga hari, sementara punca nahas masih dalam siasatan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan