Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Hujan Berterusan Tahap Bahaya Dijangka Di Terengganu Hingga Esok – MetMalaysia
KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) — Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan sangat lebat berterusan tahap bahaya dijangka berlaku di Terengganu bermula hari ini hingga esok.
MetMalaysia dalam kenyataan hari ini, memaklumkan ia melibatkan beberapa kawasan di Terengganu iaitu Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.
Kenyataan itu turut memaklumkan hujan berterusan tahap buruk dijangka berlaku di Kelantan melibatkan kawasan di Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh manakala di Terengganu membabitkan Hulu Terengganu serta kawasan Jerantut dan Kuantan di Pahang.
BACA: Hujan Lebat Luar Biasa Punca Kepala Air Di Jeram Air Putih – Bomba
Hujan berterusan tahap waspada juga dijangka di Kedah yang melibatkan Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik dan Baling; Perak (Hulu Perak dan Kuala Kangsar) serta seluruh Perlis.
“Kawasan terlibat di Kelantan pula ialah Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang manakala di Pahang (Maran, Pekan dan Rompin), Sabah melibatkan Pantai Barat (Ranau dan Kota Belud), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan),” menurut kenyataan itu.
Semalam, MetMalaysia juga mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk dijangka berlaku di Terengganu dan Kelantan hingga Isnin ini (20 Nov).
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan keadaan itu dijangka melibatkan seluruh Terengganu serta beberapa kawasan di Kelantan iaitu Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai.
“Amaran hujan berterusan (tahap buruk) dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 60 milimeter dalam tempoh 6 jam,” menurut kenyataan itu.
Sumber: BERNAMA