Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Ibu Sudah Bersedia Untuk Tinggalkan Kita Semua - Mukhriz

MUKHRIZ
Kredit: Bernama

PUTRAJAYA, 28 Sept (Bernama) -- Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, 100, sempat meluahkan bahawa beliau sudah bersedia untuk meninggalkan ‘semua’ ketika dirawat di Institut Jantung Negara (IJN), sebelum menghembuskan nafas terakhir pagi tadi.

Anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata perkara itu diluahkan ibunya ketika beliau melawat Allahyarham di institut berkenaan malam tadi.

“Saya bersama dengan beliau malam semalam. Waktu itu beliau berada di IJN atas sakit yang lain. Mood beliau sangat ceria, namun beliau ada beritahu saya yang beliau dah bersedia untuk meninggalkan kita semua,” katanya kepada pemberita selepas Istiadat Pengebumian Pembesar Negara di Pusara Negara di sini hari ini.

Mukhriz berkata ibunya dimasukkan ke IJN pada Sabtu lepas sebelum keadaan Allahyarham bertukar kritikal selepas mengalami serangan jantung kira-kira 8 pagi tadi.

“Tanpa dijangka, saya dimaklumkan pihak hospital bahawa beliau mengalami sakit jantung kira-kira pukul 8 pagi dan saya terus bergegas ke IJN. Pihak pakar cuba melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) sebelum beliau dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (CCU),” katanya.

Mukhriz berkata pihak hospital kemudian memaklumkan CPR akan diteruskan selama 15 minit lagi dan sekiranya jantung ibunya masih tidak memberikan tindak balas, usaha berkenaan akan dihentikan.

“Dan waktu itu kita dah faham maksud doktor, dan tepat 9.30 pagi, beliau telah meninggalkan kita semua,” katanya.

Mengenai keadaan ayahnya Tun Dr Mahathir Mohamad, Mukhriz berkata bekas perdana menteri itu berada di IJN bagi menemani isterinya sepanjang Allahyarham menerima rawatan.

“Tun Mahathir tidak sakit, beliau cuma menemani Allahyarham sepanjang berada di hospital dan kini telah pulang ke rumah. Sudah tentu beliau amat bersedih mengenangkan pasangan hidupnya selama 75 tahun itu,” katanya.

Dalam pada itu, Mukhriz bagi pihak keluarga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada rakyat Malaysia serta masyarakat antarabangsa atas ingatan tulus dan ucapan takziah yang disampaikan.

Beliau turut mengajak orang ramai mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

-- BERNAMA

Intipati
  • Mukhriz berkata ibunya sempat menyatakan kesediaan meninggalkan keluarga ketika dirawat di IJN.
  • Siti Hasmah dimasukkan ke IJN Sabtu lalu sebelum mengalami serangan jantung pagi tadi.
  • Mukhriz berkata Tun Dr Mahathir tidak sakit, hanya menemani isterinya sepanjang rawatan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan