Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Jarang Didengari, Syafiq Galas Tugas Penting Dalam Industri "Feed Mill" Di Australia

Syafiq Galas Tugas Penting

Jarang Didengari, Syafiq Galas Tugas Penting Dalam Industri "Feed Mill" Di Australia

Tidak semua orang memilih laluan yang sama dalam membina kerjaya. Ada yang selesa dengan bidang popular dan ada juga yang berani mencuba sesuatu yang jarang diceburi.

Dalam bidang pertanian dan penternakan yang semakin berkembang, peluang terbuka luas kepada mereka yang sanggup belajar dan menyesuaikan diri dengan teknologi baharu.

Bagaimanapun, tidak ramai yang benar-benar mengambil peluang ini untuk pergi lebih jauh.

Berbeza dengan Muhammad Syafiq A Saad, 34,  yang kini menjadi watak utama dalam industri makanan ternakan di Australia. Jauh di perantauan, ia merupakan satu pengalaman kerjaya yang dibina berdasarkan kesungguhan dan keberanian untuk mencuba.

Anak Malaysia ceburi bidang ternakan di Australia

Syafiq merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda dari UiTM Shah Alam dan menamatkan pengajian pada tahun 2013. Selepas itu, dia mengorak langkah dalam dunia pekerjaan dengan pengalaman selama lima tahun dalam bidang pembuatan mesin dan pengurusan projek.

Namun, perjalanannya dalam industri ternakan bermula ketika dia bekerja di Vietnam iaitu di syarikat QL Poultry Vietnam. Empat tahun di sana, Syafiq kemudian mendapat tawaran untuk bekerja di kilang makanan ternakan (feed mill) di syarikat ternakan lembu di Australia.

"Saya memahirkan diri dengan kemahiran-kemahiran yang diperlukan dalam bidang ini dan mempelajari selok belok bidang pertanian semasa saya empat tahun di Vietnam," katanya kepada SK.

Ketika ditanya mengapa memilih bidang ini sebagai kerjaya sedangkan ia agak jarang diceburi di Malaysia, Syafiq yang telah bekerja di Australia sejak 2023 berkata ia merupakan satu industri yang sangat luas di sana.

Dia juga menerangkan mengenai proses operasi feedmill di negara itu.

"Australia menggunakan teknologi terkini dan lebih inovatif. Dengan menceburi bidang ini, saya dapat menerokai dan mempraktikkan teknologi terkini di dalam bidang mekanikal.

"Feedmill di sini menggunakan roller mill untuk memproses bijirin seperti barli dan gandunm menjadi saiz, berat dan kelembapan yang bersesuaian untuk pemakanan lembu," ujarnya.

Peranan besar 

Syafiq berperanan sebagai Miller, yang bertanggungjawab untuk menghidupkan, mengendali dan mematikan mesin-mesin di feedmill semasa proses sedang berjalan.

Miller juga bertanggungjawab untuk menjaga kualiti bijirin semasa proses tersebut.

Menurutnya perbezaan paling ketara antara industri ini di Australia dan Malaysia adalah prosesnya yang lebih efektif dan tenaga kerja yang kurang.

"Masa diambil untuk menyiapkan sesuatu proses lebih cepat di sini (Australia). Di sini juga menggunakan jentera dan mesin yang berkualiti tinggi dan lebih tahan lama.

"Malaysia boleh belajar daripada sistem di Australia mengenai cara untuk mengendalikan masa untuk lebih produktif.

"Selain itu, penggunaan tenaga kerja yang lebih tertumpu pada pembangunan kemahiran, membuatkan seseorang lebih multi-tasking dan serba boleh," katanya lagi.

Jelasnya lagi, kemahiran paling penting yang dia belajar sepanjang berada di sana adalah kemahiran untuk menyelesaikan masalah dan berfikir dengan kritkal.

"Jika ada sesuatu masalah, Miller perlu menyelesaikannya dengan cepat dan seorang diri pada masa yang sama.

"Setiap minit yang hilang adalah kerugian untuk syarikat," katanya.

Bangga dapat jadi rakyat Malaysia

Walaupun berada jauh di negara orang, Syafiq sentiasa berbangga menjadi rakyat Malaysia dan sentiasa memberikan yang terbaik agar nama negara mekar harum.

"Sepanjang bekerja di sini, saya selalu berasa bangga jadi rakyat Malaysia yang berkhidmat dan selalu memberikan yang terbaik untuk mengharumkan nama negara

"Mungkin suatu hari nanti saya akan berkongsi pengalaman dengan kolej teknikal atau industri SME di Malaysia," kata Syafiq.

Bagaimanapun, setiap apa yang kita lakukan mempunyai liku-liku dan cabaran yang tersendiri dan Syafiq tidak terkecuali melaluinya.

"Cabaran paling utama adalah untuk bekerja dengan pelbagai jenis bangsa dan negara. Masing-masing mempunyai karenah tersendiri.

"Cabaran lain adalah tekanan untuk mempelajari sesuatu yang baharu dalam masa yang singkat," jelasnya.

Biarpun berdepan cabaran itu, Syafiq berkata dia tidak merasa putus asa kerana sedar bahawa tidak semua orang mendapat peluang sepertinya.

Tetapi dia juga tidak boleh lari dari rasa sedih kerana ketika itu masih lagi berjauhan dari keluarga.

Dalam pada itu, Syafiq juga berkata pengalaman selama bekerja di Australia membuka matanya mengenai potensi besar yang boleh 'dieksploitasi' dalam industri pertanian dan ternakan jika diberi peluang serta mempunyai tenaga kerja yang mahir.

Perancangan masa depan

Bagi perancangan masa hadapan, Syafiq ingin membuka syarikat sendiri tetapi belum masanya lagi.

"Saya memerlukan lebih pengalaman dan kenalan jika hendak membuka syarikat sendiri dalam bidang ini," ujarnya.

Nasihatnya pula kepada anak muda di Malaysia yang ingin menceburi bidang teknikal atau bekerja di luar negara adalah sering memahirkan diri dengan ilmu baharu. Ambil peluang jika diberi dan keluar dari zon yang selesa.

Perjalanan Syafiq membuktikan bahawa kejayaan tidak datang dengan mudah. Ia perlu dilalui dengan keberanian untuk mencuba dan kesungguhan untuk terus belajar.

Meskipun berada jauh di perantauan, beliau tetap membawa nama Malaysia dengan penuh bangga dalam bidang yang jarang diceburi.