Jepun mengeluarkan amaran kecemasan tahap tertinggi berhubung hujan lebat dan banjir di beberapa kawasan di wilayah Aichi dan Gifu pada Selasa petang.
Amaran Tahap 5 itu dikeluarkan susulan keadaan Sungai Shonai yang mengalir merentasi kedua-dua wilayah berkenaan.
Ketua Peramal Agensi Meteorologi Jepun (JMA), Takuya Hosomi berkata, penduduk perlu segera berpindah ke kawasan lebih tinggi dan kurang terdedah kepada risiko banjir bagi memastikan keselamatan mereka.
“Adalah perlu untuk memastikan keselamatan anda dengan berpindah ke kawasan lebih tinggi yang kurang terdedah kepada banjir,” katanya dalam sidang media.
Amaran khas itu membabitkan 14 bandar dan pekan, termasuk Nagoya serta Seto, Kasugai, Komaki, Ichinomiya, Inazawa, Kiyosu, Kitanagoya, Ama, Toyoyama, Oji dan Kanie di Aichi.
Di Gifu pula, amaran berkenaan melibatkan bandar Tajimi dan Toki.
Amaran Tahap 5 meminta penduduk menilai keadaan persekitaran masing-masing dan berpindah ke lokasi paling selamat, termasuk bangunan tinggi berdekatan atau tingkat dua dan ke atas kediaman sendiri.
Hujan Luar Biasa Landa Nagoya
Menurut JMA, Nagoya merekodkan taburan hujan luar biasa sebanyak 104.5 milimeter dalam tempoh sejam sehingga 4.53 petang, iaitu paras tertinggi pernah direkodkan.
Di beberapa kawasan termasuk Chikusa, Moriyama dan Meito, penduduk turut dinasihatkan supaya tidak berada di kawasan bawah tanah berikutan sistem saliran tidak mampu menampung jumlah air hujan yang berterusan.
Keadaan itu meningkatkan risiko air memasuki laluan bawah tanah, pusat beli-belah bawah tanah serta tempat letak kereta bawah tanah.
Rakaman yang dikongsikan di media sosial turut menunjukkan beberapa kenderaan melalui jalan yang dinaiki air sehingga paras pintu di Nagoya.
Menurut laporan NHK, laluan bawah tanah dan beberapa kawasan lain di Minato turut dilanda banjir sehingga menyebabkan orang ramai terpaksa meninggalkan kenderaan masing-masing.
Bagaimanapun, pihak berkuasa memaklumkan semua individu yang berada dalam kenderaan terbabit berjaya keluar dengan sendiri dan tiada yang dilaporkan terperangkap.

