Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kapsul Angkasa Era Soviet Dijangka Bakal Jatuh Ke Bumi

Hannah
Kapsul Angkasa Era Soviet Jatuh Ke Bumi
Gambar: ESA

Kapsul Angkasa Era Soviet Dijangka Bakal Jatuh Ke Bumi

Sebuah kapsul angkasa era Soviet yang dilancarkan lebih 50 tahun lalu dijangka bakal jatuh ke Bumi sekitar minggu hadapan.

Perkara ini dimaklumkan oleh pakar penjejak serpihan angkasa lepas, seperti dilapor The Guardian.

Kapsul yang dikenali sebagai Kosmos 482 itu pada asalnya dilancarkan oleh Kesatuan Soviet pada 1972 sebagai sebahagian daripada misi menuju ke planet Zuhrah (Venus).

Bagaimanapun, misi tersebut gagal apabila roket pelancar mengalami kerosakan. Kapsul tersebut gagal keluar dari orbit Bumi dan sejak itu kekal berlegar-legar di angkasa.

Menurut rekod NASA, pesawat itu terpecah kepada empat bahagian, seperti dilapor BBC News.

Dua daripadanya terbakar di atmosfera dalam masa 48 jam selepas pelancaran.

Manakala dua bahagian lain, kemungkinan besar termasuk modul pendaratan dan enjin utama, telah memasuki orbit yang lebih tinggi dan kekal mengelilingi Bumi hingga ke hari ini.

Sebahagian besar struktur kapsul telah terbakar dan gugur ke Bumi dalam tempoh sedekad selepas pelancaran.

Namun, komponen utama yang berbentuk sfera dengan diameter sekitar satu meter masih mengelilingi Bumi dalam orbit elips yang tinggi sejak lebih 50 tahun lalu.

Ia dijangka akan terhempas ke Bumi “secara tidak terkawal”

Menurut BBC, apa yang membimbangkan para saintis adalah kekuatan struktur modul tersebut.

Ia direka khas untuk menahan tekanan dan suhu tinggi atmosfera Zuhrah yang jauh lebih mencabar berbanding atmosfera Bumi.

Oleh itu, struktur seperti perisai haba dan kompartmen kedap udara dijangka mampu bertahan ketika ia jatuh semula ke Bumi.

Pakar penerbangan angkasa dari saluran Tekhasskiy Vestnik, Georgy Trishkin berkata, modul ini juga mungkin telah kehilangan fungsi payung terjunnya akibat kerosakan struktur dalaman.

Ini meningkatkan kemungkinan ia akan jatuh ke daratan dengan kelajuan tinggi tanpa kawalan.

Jika ia mendarat dengan kelajuan sekitar 242 km/j, impaknya boleh menghasilkan tenaga letupan setara dengan beberapa ratus gram bahan letupan TNT.

Sementara itu, The Guardian melaporkan saintis dari Belanda, Marco Langbroek, menjangkakan sekiranya kapsul itu kekal utuh, ia boleh terhempas dengan kelajuan sekitar 242 kilometer sejam (150mph).

“Walaupun tidak sepenuhnya bebas risiko, kita tidak perlu terlalu bimbang,” kata Langbroek.

Kata beliau, objek ini agak kecil dan kemungkinan besar ia akan musnah ketika memasuki atmosfera, sama seperti kejadian meteorit yang berlaku beberapa kali setiap tahun.

Langbroek turut menjelaskan bahawa kebarangkalian untuk objek ini mengenai seseorang atau struktur penting di Bumi adalah sangat kecil.

“Tetapi kita tidak boleh menolak kemungkinan itu sepenuhnya,” katanya.

Bagaimanapun, Jonathan McDowell dari Pusat Astrofizik Harvard-Smithsonian berkata, jika perisai haba gagal, kapsul itu mungkin akan terbakar sepenuhnya di udara.

Lokasi hentaman

Setakat ini, lokasi sebenar tempat ia akan jatuh masih tidak dapat dipastikan.

Kawasan berisiko termasuk antara latitud 51.7 darjah utara hingga 51.7 darjah selatan, meliputi kawasan dari London dan Edmonton di Kanada hingga ke Tanjung Horn di Amerika Selatan.

Namun, memandangkan lebih 70 peratus permukaan Bumi terdiri daripada lautan, Langbroek menjangkakan besar kemungkinan kapsul itu akan berakhir di dasar laut.

Untuk info, pada 2018, stesen angkasa Tiangong-1 milik China turut mengalami kemasukan semula secara tidak terkawal dan terhempas ke Lautan Pasifik.

Begitu juga dengan pelancar roket China pada 2022 yang mencetuskan kebimbangan global apabila ia kembali ke Bumi tanpa kawalan.

BACA: Dua Lebuh Raya Terpanjang Di Israel Ditutup

BACA: Hilang Sejak 1962, Wanita Ditemui Selamat & Sihat

BACA: Trent Alexander-Arnold Sah Tinggalkan Liverpool, Bakal Ke Real Madrid

Sumber: The Guardian, BBC News