Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kebakaran Hutan Berhampiran Lebuhraya MEX Dipadam Sepenuhnya
Kebakaran hutan yang berlaku berhampiran Lebuhraya Maju Expressway (MEX) semalam berjaya dipadam sepenuhnya awal pagi tadi, lapor Astro Awani.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya dan operasi pemadaman dihentikan pada jam 3.48 pagi.
Katanya, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Kembangan tiba di lokasi kejadian sekitar sembilan minit selepas panggilan kecemasan diterima pada jam 4.12 petang semalam.
"Pada peringkat awal, kebakaran hutan bukit berhampiran Plaza Tol Putrajaya di Lebuhraya KL-Putrajaya (MEX) dianggarkan melibatkan kawasan sekitar dua ekar atau hampir satu hektar.
"Bagaimanapun, kebakaran terus merebak sepanjang operasi pemadaman sehingga melibatkan keluasan keseluruhan kira-kira 37 ekar," maklum beliau.
Difahamkan, operasi pemadaman kebakaran hutan itu melibatkan anggota dari BBP Seri Kembangan, BBP Cyberjaya, BBP Puchong, BBP Jalan Penchala dan BBP Subang Jaya.
"Kerja pemadaman dilakukan menggunakan dua aliran hos sepanjang 200 kaki, dua pancutan pam jentera serta peralatan pemukul api (firebeater) bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak.
"Operasi turut dibahagikan kepada enam sektor utama bagi memudahkan kawalan di kawasan berbukit yang sukar diakses, selain bantuan unit dron untuk pemantauan dari udara," tambah beliau.
Operasi tersebut turut melibatkan 27 anggota bomba. Tiada mangsa atau kerosakan struktur dilapor berlaku.
Sementara itu, pemantauan susulan turut dilaksanakan pihak JBPM Selangor bagi memastikan tiada sisa kebakaran yang berpotensi mencetuskan semula api.
Terdahulu, orang ramai berkongsi keadaan semasa kebakaran di media sosial sejak petang semalam.
Kebakaran tersebut turut menyebabkan kesesakan lalu lintas di lebuhraya berkenaan.