Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kerajaan Sambut Baik Inisiatif Bank, Kad Kredit Asas Dan Pengeluaran ATM Percuma

ATM
Kredit: Bernama

Kerajaan Sambut Baik Inisiatif Bank, Kad Kredit Asas Dan Pengeluaran ATM Percuma

Kerajaan MADANI menyambut baik beberapa inisiatif baharu yang diperkenalkan industri perbankan termasuk Kad Kredit Asas, pemansuhan caj pengeluaran wang tunai di mesin pengeluaran automatik (ATM) serta bantuan bersasar kepada individu dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terkesan dengan tekanan kos sara hidup.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, langkah itu diambil bagi membantu rakyat dan PMKS yang berdepan ketidaktentuan ekonomi global serta kesan konflik di Asia Barat.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menghargai komitmen industri perbankan dalam memperluaskan akses kepada perkhidmatan kewangan yang lebih mudah, berpatutan dan bertanggungjawab.

“Ketika rakyat dan PMKS berdepan tekanan kos serta aliran tunai, institusi kewangan memainkan peranan penting membantu pelanggan menerusi penyelesaian yang berhemat, tangkas dan berperikemanusiaan.

“Saya merakamkan penghargaan kepada industri perbankan negara kerana menyahut saranan kerajaan untuk mengorak langkah ke arah sistem kewangan yang lebih manusiawi,” katanya.

Menurut kementerian itu, Kad Kredit Asas diperkenalkan sebagai pilihan kemudahan kredit yang lebih ringkas dan mampu milik bagi membantu pengguna mengurus aliran tunai harian secara lebih berhemah.

Katanya, produk berkenaan menawarkan kadar pembiayaan maksimum sebanyak 14 peratus setahun, lebih rendah berbanding had semasa 18 peratus, selain menetapkan had kredit yang lebih terkawal bagi menggalakkan penggunaan kredit secara bertanggungjawab.

Tambahnya, pemegang kad kredit sedia ada turut dibenarkan memindahkan baki tertunggak ke akaun Kad Kredit Asas tanpa dikenakan sebarang caj.

Dalam pada itu, Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa mulai 1 Julai lalu, rakyat Malaysia kini boleh mengeluarkan wang tunai di lebih 14,000 mesin ATM bank di seluruh negara tanpa dikenakan caj RM1.

Menurutnya, langkah tersebut mencerminkan komitmen industri perbankan dalam memastikan perkhidmatan kewangan asas lebih mudah diakses oleh orang ramai.

Bagi peminjam dan PMKS yang terjejas akibat krisis bekalan global serta konflik di Asia Barat, bank-bank turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan bersasar mengikut keperluan masing-masing.

Antara bantuan yang ditawarkan termasuk penangguhan sementara bayaran balik pinjaman, pengurangan ansuran bulanan serta pelanjutan tempoh pembiayaan.

Kementerian itu berkata, sejak penghujung April lalu, institusi perbankan telah menerima dan memproses permohonan penjadualan serta penstrukturan semula pinjaman membabitkan pembiayaan melebihi RM4.7 bilion, melibatkan lebih 1,100 peminjam.

Pada masa sama, pembiayaan kepada sektor PMKS terus menunjukkan pertumbuhan positif apabila pembiayaan tertunggak meningkat 5.3 peratus pada Mei 2026.

Di bawah Kemudahan Bantuan Kestabilan PMKS bernilai RM5 bilion, kira-kira RM1 bilion pembiayaan telah diluluskan setakat 25 Jun lalu kepada sekitar 1,500 PMKS yang terjejas akibat konflik di Asia Barat.

Menurut kementerian itu, industri perbankan turut komited memproses permohonan bantuan dalam tempoh tujuh hari bekerja, dengan baki peruntukan sekitar RM4 bilion masih tersedia bagi membantu lebih ramai peminjam yang layak.

Sehubungan itu, peminjam dan PMKS yang terkesan disaran menghubungi bank masing-masing secepat mungkin bagi mendapatkan bantuan yang bersesuaian, selain memanfaatkan skim jaminan di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP), Credit Guarantee Corporation (CGC) dan khidmat nasihat daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Kerajaan MADANI berkata, pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan Bank Negara Malaysia (BNM) serta industri perbankan bagi memastikan sistem kewangan negara kekal stabil, inklusif dan terus berpihak kepada rakyat.