Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Telstra Alami Gangguan Rangkaian Di Seluruh Australia

TELSTRA
Kredit: AFP

Telstra Alami Gangguan Rangkaian Di Seluruh Australia

Syarikat telekomunikasi terbesar Australia, Telstra, mengalami gangguan rangkaian berskala besar pada pagi Rabu yang menjejaskan perkhidmatan telefon mudah alih, internet, sistem pembayaran serta pengangkutan awam di seluruh negara.

Menurut laporan ABC News, gangguan itu dipercayai berpunca daripada kerosakan pada beberapa nodes yang menguruskan penyelarasan masa (time synchronisation) di pusat data Telstra di Sydney dan Melbourne.

Ketua Pegawai Kewangan Telstra, Michael Ackland berkata, syarikat itu bagaimanapun masih belum mengenal pasti punca sebenar kegagalan sistem berkenaan.

“Masalah itu menjejaskan beberapa nodes dalam rangkaian kami yang berfungsi menyelaraskan masa di seluruh rangkaian mudah alih.

“Apabila nodes ini tidak berfungsi seperti sepatutnya, bahagian lain dalam rangkaian turut terjejas sehingga menyebabkan gangguan terhadap panggilan telefon dan sesi data,” katanya pada sidang media.

Menurut laporan itu, gangguan mula dikesan sekitar pukul 4.30 pagi waktu Australia Timur (AEST) apabila laman pemantauan Downdetector merekodkan peningkatan mendadak aduan pengguna.

Jumlah laporan meningkat daripada 308 kepada 776 dalam tempoh hanya 15 minit sebelum memuncak kepada lebih 7,000 aduan sekitar pukul 6.42 pagi. Gangguan paling banyak dilaporkan melibatkan isyarat telefon mudah alih diikuti perkhidmatan internet mudah alih.

Ackland berkata, gangguan itu berpotensi menjejaskan jutaan pengguna di seluruh Australia, walaupun beliau tidak dapat mengesahkan jumlah sebenar pelanggan yang terlibat.

Menurutnya, pasukan teknikal berjaya memulihkan sebahagian nodes yang terjejas, namun proses penyelarasan semula dengan keseluruhan rangkaian memerlukan sedikit masa sebelum semua perkhidmatan kembali stabil.

Beliau berkata, setakat ini tiada bukti menunjukkan gangguan tersebut berpunca daripada serangan siber atau sebarang aktiviti berniat jahat, namun siasatan menyeluruh masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar.

Gangguan itu turut memberi kesan kepada beberapa syarikat telekomunikasi yang menggunakan rangkaian Telstra seperti Boost, Aldi Mobile, Tangerine, Belong dan Everyday Mobile.

Dalam satu kenyataan sekitar pukul 10 pagi waktu tempatan, Telstra memaklumkan hampir 90 peratus perkhidmatan panggilan dan data telah kembali beroperasi, manakala pasukan teknikal terus berusaha memulihkan baki perkhidmatan yang masih terjejas.

Sementara itu, Ackland berkata keutamaan syarikat ketika ini adalah memastikan semua perkhidmatan dipulihkan sepenuhnya sebelum mempertimbangkan sebarang bentuk pampasan kepada pelanggan yang terjejas.

Sumber:ABC News