Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Ketua Hakim Negara Dahului Senarai Penerima Bintang Darjah Kebesaran Terengganu

HAKIM
Kredit: Bernama

KUALA TERENGGANU, 6 Sept (Bernama) -- Ketua Hakim Negara Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh mendahului senarai 128 penerima Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri Terengganu bagi 2026 bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun ke-64 Hari Keputeraan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

Pemangku Raja Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat dan menyempurnakan istiadat yang berlangsung di Balairong Seri, Istana Syarqiyyah, di sini hari ini.

Adinda baginda Tengku Seri Setia Mahkota Raja Tengku Datuk Seri Muhammad Muaz, Tengku Puteri Utama Raja Tengku Nadhirah Zahrah dan Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuz Zahra’ turut berangkat ke istiadat berkenaan.

Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Wan Ahmad Farid menerima Darjah Kebesaran Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (S.S.M.Z) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Yang turut menerima S.S.M.Z ialah Duta Besar Qatar ke Malaysia Datuk Seri Salah Mohammed Al-Sorour, Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris dan Timbalan Presiden Persatuan Ekuin Terengganu Tan Sri Abdullah Taib.

Tengku Muhammad Ismail turut mengurniakan Darjah Kebesaran Datuk Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (D.S.M.Z) yang membawa gelaran Datuk kepada Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali serta Penasihat Lembaga Pengarah dan bekas Pegawai Eksekutif Celcomdigi Berhad Datuk Mohamad Idham Nawawi.

Yang turut menerima D.S.M.Z ialah Pengerusi Eksekutif Mirmas Holding Sdn Bhd Datuk Awalan Abdul Aziz dan Pengurus Bersama Messrs Feroz@Co Datuk Feroz A S Moidunny.

Selain itu, baginda berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T) yang turut membawa gelaran Datuk kepada 27 penerima termasuk pelakon terkenal Datuk Abdul Manan Embong atau Eman Manan dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu Datuk Razali Idris.

Ahli Parlimen Dungun Datuk Wan Hassan Mohd Ramli, Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu Prof Datuk Dr Mohd Zamri Ibrahim dan Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin turut dikurniakan bintang darjah kebesaran yang sama.

Tengku Muhammad Ismail juga berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (S.M.Z) kepada 17 penerima termasuk Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Pada istiadat tersebut, baginda mengurniakan Darjah Kebesaran Setia Mahkota Terengganu kepada 17 penerima, Darjah Kebesaran Ahli Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (20 penerima) dan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Terengganu (39 penerima).

-- BERNAMA

Intipati
  • Tun Wan Ahmad Farid mendahului 128 penerima darjah kebesaran Terengganu bagi 2026.
  • Beliau menerima S.S.M.Z yang membawa gelaran Datuk Seri pada istiadat di Istana Syarqiyyah.
  • Antara penerima lain termasuk Duta Besar Qatar, Panglima Tentera Udara dan Eman Manan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan