KPM Perkenal Mata Pelajaran Baharu Pendidikan Karakter Bermula Tahun Depan
KUALA LUMPUR — Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bakal memperkenal mata pelajaran baharu iaitu Pendidikan Karakter bermula tahun depan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, subjek berkenaan bakal menjadi tunjang kepada Kurikulum Persekolahan 2027.
“Antara perkara yang sedang kita lakukan ketika ini termasuk membuat persiapan berkaitan kurikulum 2027 kurikulum yang baru yang mana dalam kurikulum ini terdapat satu mata pelajaran yang sangat penting yang menjadi teras kepada semua iaitu Pendidikan Karakter.
“Jadi, Pendidikan Karakter ini akan menjadi tunjang kepada kurikulum baru yang akan bermula 2026 tahun hadapan manakala yang terkait rapat dengan nilai akhlak peribadi semua sudah pun berada dalam kurikulum kita begitu panjang.
“Jadi, untuk pengkhususan kurikulum baru ini atas saranan itu maka kita telah pun meletakkan bahawa antara perkara yang paling penting adalah terkait rapat dengan Pendidikan Karakter ini.
“Jadi bermula tahun hadapan, bermula dengan kurikulum ini akan dimulakan oleh prasekolah akan memulakan terlebih dahulu terkait rapat dengan kurikulum baru ini.
“Pendekatan Pendidikan Karakter ini akan menjadi tunjang yang akan terus diberikan perhatian penuh berkaitan dengan apa yang dihasratkan oleh seluruh warga pendidikan terkait rapat dengan Pendidikan Karakter,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Salamiah Mohd Nor (Perikatan Nasional – Temerloh) mengenai cadangan membangunkan kurikulum yang menekankan pembinaan sahsiah, jati diri dan nilai murni di Dewan Rakyat hari ini.
Sebelum ini, KPM memaklumkan akan memberi fokus dalam pelaksanaan reformasi serta-merta terhadap sistem dan mekanisme sedia ada selain memperkasa program pendidikan bagi meningkatkan aspek keselamatan dan kesejahteraan murid di sekolah.
Fadhlina berkata, lima teras utama ini akan merangkumi kesihatan mental, pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial, pencegahan bahan terlarang, dasar perlindungan kanak-kanak, sokongan guru serta suara murid.
Sumber: Astro AWANI