Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

KPT Perjelas Isu Dakwaan Kemasukan Pelajar Antarabangsa Kurangkan Peluang Pelajar Tempatan
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tampil memberikan penjelasan berhubung dakwaan kemasukan pelajar antarabangsa ke Universiti Awam (UA) telah mengurangkan peluang pelajar tempatan untuk melanjutkan pengajian.
Ia susulan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr. Haim Hilman Abdullah.
Menurut KPT, pihaknya menegaskan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak berasas, mengelirukan dan gagal menggambarkan realiti sebenar sistem pendidikan tinggi negara.
Tambah KPT, dalam sistem Universiti Awam, terdapat dua kategori utama pengajian iaitu Program prasiswazah (Ijazah Sarjana Muda dan Ke Bawah) dan Program pascasiswazah (Sarjana dan Doktor Falsafah).
"Program prasiswazah (Ijazah Sarjana Muda dan Ke Bawah), yang memberi penekanan kepada penyediaan akses pendidikan tinggi kepada pelajar tempatan (keutamaan) dan pelajar antarabangsa (berdasarkan prinsip 'over and above').
"Manakala Program pascasiswazah (Sarjana dan Doktor Falsafah), yang terbuka kepada pelajar tempatan dan antarabangsa berdasarkan kelayakan akademik serta kapasiti penyelidikan universiti.
"Kedua-dua kategori ini mempunyai objektif, mekanisme kemasukan serta sasaran yang berbeza. Justeru, apabila YB Haim menggabungkan jumlah pelajar bagi kedua-dua kategori untuk mewujudkan persepsi bahawa pelajar antarabangsa "mengambil tempat" pelajar tempatan adalah satu gambaran yang tidak tepat serta mengelirukan masyarakat," maklum KPT.
Berdasarkan data rasmi KPT menerusi sistem MyMoheS sehingga 31 Disember 2025, Jumlah keseluruhan enrolmen pelajar di IPT Awam dan Swasta ialah 1,264,541 orang.
Daripada jumlah tersebut, pelajar antarabangsa hanyalah 159,138 orang, iaitu sekitar 12.6 peratus.
Bagi Unversiti Awam pula, jumlah keseluruhan enrolmen ialah 634,706 orang dan pelajar antarabangsa hanyalah 56,565 orang, iaitu 8.9 peratus daripada keseluruhan enrolmen.
Tambah KPT, pembahagian jumlah pelajar Malaysia dan pelajar antarabangsa adalah mengikut program kemasukan.
"Bagi Prasiswazah jumlah pelajar adalah 520,105 orang dengan 502,212 (96.56peratus) adalah pelajar Malaysia dan 17,893 (3.44 peratus) adalah pelajar antarabangsa.
"Bagi kategori Pascasiswazah, jumlah pelajar adalah 114,601 orang dengan 75,929 (66.26 peratus) pelajar Malaysia. Sementara pelajar antarbangsa berjumlah 38,672 (33.74 peratus)," maklum KPT lagi.
Data ini dengan jelas menunjukkan bahawa majoriti pelajar antarabangsa berada di peringkat pascasiswazah, bukannya bersaing mendapatkan tempat bersama lepasan SPM, STPM, matrikulasi atau diploma yang memohon ke program prasiswazah.
KPT turut menyangkal dakwaan bahawa pelajar antarabangsa di lima Universiti Penyelidikan (RU) iaitu UM, USM, UKM, UPM dan UTM 'merampas' tempat pelajar tempatan.
"Hakikatnya, jumlah enrolmen di lima universiti tersebut ialah 186,824 orang dengan 145,727 orang (78 peratus) merupakan pelajar tempatan dan 41,097 orang (22 peratus) merupakan pelajar antarabangsa.
"Daripada 41,097 pelajar antarabangsa itu pula, 28,135 orang (68.5 peratus) berada di peringkat pascasiswazah. 12,962 orang (31.5 peratus) berada di peringkat prasiswazah yang mana kemasukan melalui laluan terbuka yang dilaksanakan secara 'over and above' iaitu kuota arus perdana (UPUOnline) dipenuhi terlebih dahulu sebelum saluran tambahan dibuka.
"Keadaan ini selaras dengan fungsi Universiti Penyelidikan yang memberi tumpuan kepada penyelidikan, inovasi, penerbitan ilmiah dan jaringan akademik antarabangsa. Kehadiran pelajar antarabangsa di peringkat ini adalah satu keperluan strategik bagi memperkukuh ekosistem penyelidikan negara," kata KPT lagi.
Sementara itu, KPT dalam kenyataan itu berkata, kehadiran pelajar antarabangsa mengukuhkan universiti dan bukannya mengambil hak rakyat Malaysia.
Jelasnya, pelajar antarabangsa yang mengikuti pengajian di Malaysia perlu membayar yuran penuh tanpa menerima subsidi Kerajaan, selain perlu memenuhi syarat akademik serta proses saringan universiti yang sama ketat; menyumbang kepada pengukuhan kewangan universiti melalui pembayaran yuran;
Selain membantu universiti menambah baik kemudahan pembelajaran dan penyelidikan; dan meningkatkan kerjasama penyelidikan antarabangsa, penerbitan berimpak tinggi serta kedudukan universiti dalam penarafan dunia.
Malah kehadiran mereka turut mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif, memperkukuh interaksi silang budaya dan menyediakan pengalaman global kepada mahasiswa tempatan tanpa perlu meninggalkan negara.
Sehubungan itu, KPT menegaskan bahawa kepentingan, kebajikan dan akses pendidikan pelajar tempatan sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan MADANI.
Malaysia akan terus melaksanakan agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi secara strategik dan bertanggungjawab bagi memastikan institusi pendidikan tinggi negara kekal berdaya saing di peringkat antarabangsa, diiktiraf dunia serta menjadi destinasi pendidikan pilihan global, tanpa sesekali mengorbankan hak, peluang dan masa depan pelajar Malaysia.
Kenyataan sedemikian bukan sahaja menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat, malah menjejaskan reputasi Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Malaysia di mata dunia.
Agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi bukanlah dasar baharu atau dasar yang diwujudkan secara 'ad hoc'. Ia merupakan dasar kebangsaan yang telah dilaksanakan secara konsisten sejak lebih dua dekad lalu selaras dengan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) tahun 2007 bagi menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi bertaraf dunia.
"Hari ini, Malaysia menjadi destinasi pilihan pelajar daripada lebih 180 buah negara hasil pengiktirafan terhadap kualiti program akademik, kecemerlangan penyelidikan, kepakaran tenaga akademik serta kos pendidikan yang kompetitif," kata KPT.