Lelaki Dedah Menyesal Menang “Jackpot” RM14K, Terpaksa Bersembunyi Selepas Diburu Ramai Orang
Hari bahagia bertukar menjadi ngeri, seorang lelaki di India merasa kesal setelah menang besar dalam cabutan loteri tempatannya yang berjumlah RM14,000 kerana dihujani dengan tuntutan wang daripada orang yang tidak dikenali sehingga terpaksa bersembunyi.
Lapor Daily Mail, pemandu beca yang dikenali sebagai Anoop berasal dari Kerala dilaporkan telah meraih ‘jackpot’ pada 18 September dan merupakan hadiah terbesar yang pernah diberi oleh syarikat loteri.
Baru-baru ini, lelaki yang berusia 32 tahun itu terpaksa membuat video untuk orang yang tidak dikenali supaya berhenti mengganggu dia dan keluarganya serta berhenti memburu mereka untuk mendapatkan wang.
Ujar Anoop, bagi memastikan keluarganya berada dalam keadaan selamat, dia juga perlu sentiasa berpindah rumah untuk mengelakkan situasi tak diingini berlaku.
“Saya telah kehilangan semua ketenangan fikiran, saya tidak boleh tinggal di rumah saya sendiri kerana saya dikepung dengan orang yang datang meminta saya menyelesaikan pelbagai perkara kerana saya telah memenangi hadiah pertama,” katanya memetik Daily Mail.
Ketika media muncul dirumahnya di negeri Kerala untuk menemu bual pemenang bertuah, terdapat juga segerombolan orang yang tidak dikenali mencuba menyelit untuk mendapatkan sedikit kemenangannya.
“Saya harap saya tidak memenangi loteri itu,” katanya dengan sedih kepada BBC memetik Daily Mail.
“Hadiah ketiga mungkin lebih baik,” ujarnya selepas tidak menyangka perkara sedemikian berlaku.
‘Saya sangat gembira bila saya menang’

Semasa teringat akan hari bahagia itu, Anoop berkata dia berasa gembira atas berita kemenangannya ekoran selama ini dia hanya memenangi hadiah yang kecil.
“Saya berasa sangat gembira apabila saya menang. Ada orang datang membawa kamera dan kami gembira.”
Diibarat seperti durian runtuh, Anoop telah memenangi ‘jackpot’ selepas selama bertahun membeli tiket loteri namun nasib tidak menyebelahinya sebelum ini.
Keadaan sehingga menjadi tidak terkawal, perhatian media menyuluh kepadanya dan mereka datang ke rumahnya pada setiap pagi.
Namun setakat ini, Anoop memaklumkan dia masih belum menerima wang loteri malah orang yang tidak dikenali berterusan mengetuk pintu rumahnya.
“Apa yang saya boleh beritahu semua orang ialah saya belum mendapat apa-apa wang lagi namun tiada siapa yang memahami masalah saya tidak kira berapa kali saya mengatakannya,” ujarnya lagi.
Anoop membeli tiket itu pada 17 September, sehari sebelum dia berlepas ke Malaysia untuk bekerja sebagai tukang masak, setelah menggunakan duit simpanan anak lelakinya untuk membayar tiket itu.
Sumber: Daily Mail
