Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Indonesia Buka Ruang Udara Untuk Malaysia Laksana Operasi Pembenihan Awan

INDONESIA
Kredit: Facebook Arthur Joseph Kurup

Indonesia memberikan kebenaran rasmi kepada Malaysia untuk merentasi ruang udara negara itu bagi melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di kawasan sempadan kedua-dua negara susulan kebimbangan terhadap cuaca panas, fenomena El Nino dan jerebu rentas sempadan.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, kebenaran itu antara perkara yang dibincangkan menerusi panggilan telefon bersama Menteri Lingkungan Hidup Indonesia, Jumhur Hidayat, hari ini.

Menurutnya, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) kini sedang merangka jadual pelaksanaan OPA sebelum diselaraskan bersama Panglima Tentera Nasional Indonesia.

“Indonesia turut memberikan kebenaran rasmi kepada Malaysia untuk merentasi ruang udara negara itu bagi melaksanakan Operasi Pembenihan Awan di kawasan sempadan kedua-dua negara.

“NADMA bersama MET Malaysia kini sedang merangka jadual operasi sebelum diselaraskan bersama Panglima Tentera Nasional Indonesia,” ujarnya menerusi kenyataan.

Dalam pada itu, Arthur berkata, Malaysia dan Indonesia turut memperkukuh kerjasama bagi menangani cuaca panas, fenomena El Nino serta isu jerebu rentas sempadan yang melanda rantau ini.

Katanya, Malaysia menghargai dan menyokong tindakan pantas Kerajaan Republik Indonesia dalam memperhebat usaha memadamkan kebakaran hutan dan tanah.

“Malaysia menghargai dan menyokong tindakan pantas Kerajaan Republik Indonesia di bawah kepimpinan Presiden Prabowo yang melipatgandakan usaha pemadaman kebakaran hutan dan tanah.

“Ini termasuk penambahan 1,500 anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI), penggunaan helikopter berkapasiti besar bagi kaedah water bombing serta pelaksanaan operasi modifikasi cuaca secara agresif di lapangan,” katanya.

Menurut Arthur, kedua-dua negara turut komited untuk melipatgandakan langkah pencegahan serta tindakan pemadaman awal susulan fenomena El Nino yang dijangka semakin menguat menjelang Oktober 2026.

Jelasnya, kerjasama itu penting bagi memastikan kualiti udara dapat dipertingkatkan menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-69 pada 31 Ogos ini serta sambutan Hari Malaysia di Kuching, Sarawak pada 16 September.

Beliau berkata, kementeriannya akan terus memantau pergerakan titik panas dan tahap kualiti udara menerusi Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta MET Malaysia.

“Kerjasama ini penting dalam memastikan kita dapat bertindak lebih awal dan menangani kesan cuaca panas, kebakaran serta jerebu rentas sempadan secara bersama,” jelasnya.

Intipati
  • Indonesia membenarkan Malaysia merentasi ruang udaranya untuk Operasi Pembenihan Awan di kawasan sempadan.
  • NADMA dan MET Malaysia sedang merangka jadual operasi sebelum penyelarasan bersama pihak Indonesia.
  • Kedua-dua negara memperkukuh kerjasama menghadapi cuaca panas, El Nino dan jerebu rentas sempadan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan