Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara negara peneraju industri jualan langsung dunia apabila berjaya melonjak ke tangga kelima global dan ketiga rantau Asia Pasifik, sekali gus membuktikan daya saing serta kepercayaan terhadap ekosistem perniagaan negara.
Setiausaha Bahagian, Bahagian Perdagangan Pengedaran dan Perniagaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Rohaizi Bahari berkata, pencapaian itu bukan sahaja mencerminkan kematangan industri jualan langsung negara, malah membuktikan sektor berkenaan menjadi pemacu penting kepada keusahawanan, peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Media AM50 Expo yang menampilkan Forum “Empowering the Rakyat: Navigating Cost of Living Pressures Through Ethical Entrepreneurship” sempena Pelancaran Rasmi AM50 Expo di Wisma Amway, hari ini.
Menurutnya, industri jualan langsung Malaysia telah berkembang menjadi antara sektor paling dinamik dan diiktiraf di peringkat antarabangsa dalam ekosistem perdagangan negara sepanjang lebih lima dekad.
“Ia bukan sahaja membuka peluang keusahawanan kepada rakyat, malah menjana peluang pekerjaan, memperkukuh pendapatan isi rumah dan menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi domestik,” katanya.
Rohaizi berkata, berdasarkan data World Federation of Direct Selling Associations (WFDSA), Malaysia meningkatkan kedudukannya daripada tangga ketujuh dunia pada 2021 kepada tangga kelima dunia pada 2025.
Menurut beliau, Malaysia turut melonjak daripada kedudukan kelima kepada ketiga di rantau Asia Pasifik, selain merekodkan kadar penembusan pasaran jualan langsung tertinggi di dunia dengan sumbangan kira-kira 2.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025.

“Malaysia kini berdiri sebaris dengan pasaran matang seperti Amerika Syarikat, Jerman, China, Korea Selatan dan Jepun.
“Pencapaian ini membuktikan Malaysia berjaya membangunkan ekosistem jualan langsung yang kompetitif, dipercayai dan mendapat pengiktirafan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan tersebut bukan hasil usaha sebuah syarikat semata-mata, sebaliknya lahir daripada kerjasama erat antara pemain industri, persatuan industri dan kerajaan dalam membina ekosistem yang berasaskan inovasi, profesionalisme serta keyakinan pengguna.
Menurutnya, sebagai antara syarikat jualan langsung paling lama bertapak di negara ini, Amway memainkan peranan penting dalam perkembangan industri sepanjang 50 tahun lalu.
“Keupayaan Amway kekal berdaya saing selama lima dekad membuktikan kepentingan inovasi berterusan, kebolehsuaian serta pelaburan terhadap pembangunan insan.
“Ia juga menunjukkan bagaimana syarikat yang bertanggungjawab mampu mencipta nilai jangka panjang kepada pengguna, usahawan dan ekonomi negara,” katanya.
Jualan langsung bukan sekadar menjual produk
Rohaizi berkata, industri jualan langsung hari ini telah berkembang menjadi platform pembangunan keusahawanan yang memberi peluang kepada rakyat daripada pelbagai latar belakang memperoleh ilmu perniagaan, kemahiran kepimpinan serta kebebasan kewangan.
Menurutnya, sektor berkenaan menyediakan laluan yang lebih mudah kepada rakyat untuk menceburi dunia perniagaan, menjana pendapatan mampan dan meningkatkan taraf hidup.
“Apabila Malaysia terus memperkukuh ekonomi domestik, industri jualan langsung akan terus menjadi rakan strategik dalam memperluaskan keusahawanan dan mewujudkan peluang ekonomi yang lebih inklusif,” katanya.
KPDN komited perkukuh industri
Dalam pada itu, beliau berkata KPDN bukan sekadar berperanan sebagai badan pengawal selia, malah komited memudah cara pertumbuhan industri secara mampan.
Menurutnya, kementerian akan terus memperkukuh keyakinan pengguna, menggalakkan inovasi dan memastikan perniagaan yang sah berkembang dalam persekitaran pasaran yang adil, kompetitif serta diyakini.
“Kami akan terus bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan bagi memperkukuhkan ekosistem jualan langsung Malaysia,” katanya.
Etika asas kejayaan industri
Mengulas mengenai masa depan industri, Rohaizi menegaskan bahawa kejayaan sebenar bukan diukur melalui nilai jualan atau kedudukan dunia semata-mata, sebaliknya melalui tahap kepercayaan yang berjaya dibina.
Beliau berkata, kepercayaan hanya dapat diwujudkan menerusi amalan perniagaan yang beretika dengan meletakkan integriti, ketelusan dan akauntabiliti sebagai teras setiap keputusan perniagaan.
“Pengguna hari ini semakin bijak dan berpengetahuan. Mereka bukan sahaja mahukan produk berkualiti, tetapi juga pemasaran yang jujur, keusahawanan yang bertanggungjawab serta syarikat yang berintegriti.
“Atas sebab itu, etika mesti terus menjadi tunjang kepada industri jualan langsung Malaysia,” katanya.
Menurutnya, setiap syarikat, pengedar dan usahawan mempunyai tanggungjawab memastikan pengguna menerima maklumat yang benar, produk berkualiti serta peluang perniagaan yang sah.
Beliau berkata, amalan perniagaan beretika juga penting bagi membezakan syarikat jualan langsung yang sah daripada skim piramid haram dan model perniagaan penipuan yang boleh menjejaskan keyakinan pengguna serta imej industri.
“KPDN percaya perniagaan beretika adalah perniagaan yang mampan.
“Melalui pelaksanaan berkesan Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993, kementerian akan terus memastikan industri ini berkembang secara bertanggungjawab sambil melindungi kepentingan pengguna,” katanya.
Mengakhiri ucapannya, Rohaizi berkata masa depan industri jualan langsung tidak akan ditentukan oleh jumlah jualan semata-mata, tetapi sejauh mana kepercayaan berjaya diraih daripada pengguna.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Amway Malaysia sempena sambutan Jubli Emas syarikat itu serta berharap pencapaian tersebut menjadi pemangkin kepada lebih banyak inovasi, keusahawanan beretika dan pertumbuhan mampan pada masa hadapan.
“Marilah kita bersama-sama membina ekosistem jualan langsung yang inovatif, beretika, berdaya saing dan dihormati di peringkat global,” katanya.