Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Malaysia Negara Pertama Berjaya Meyakinkan Myanmar Terima Pulang Pelarian – Fahmi

Malaysia Negara pertama
Kredit: Bernama

Malaysia menjadi negara pertama di dunia yang berjaya meyakinkan sesebuah negara seperti Myanmar menerima semula pelarian dari negaranya, sekali gus mencatat pencapaian diplomatik membanggakan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kejayaan itu dicapai menerusi perbincangan ketika lawatan rasmi Presiden Myanmar, Min Aung Hsiang ke Malaysia pada 7 dan 8 Oktober lalu.

Beliau berkata, hasil perbincangan tersebut membolehkan Malaysia mengatur penghantaran pulang lebih ramai pelarian Myanmar dalam masa terdekat.

Malaysia Negara Pertama Yakinkan Negara Lain Terima Pulang Pelarian

“Pada 7-8 Oktober lalu, Presiden Myanmar telah datang untuk satu lawatan rasmi. Dalam lawatan rasmi itu, beberapa perbincangan telah diadakan yang membolehkan Malaysia memastikan penghantaran pulang pelarian Myanmar yang lebih ramai.

“Insya-Allah, dalam masa terdekat lebih 3,000 pelarian Myanmar daripada pelbagai etnik akan mula dihantar pulang,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi Oktober 2026.

Kejayaan ini bukan sahaja membuktikan hubungan diplomatik yang baik antara dua negara, namun Malaysia juga menjadi negara pertama yang mempunyai pencapaian ini.

Pada masa yang sama, beliau turut berkata seramai 10,400 pelarian Myanmar telah dihantar pulang ke negara asal mereka dan semua kos ditanggung oleh Myanmar sendiri.

“Ini satu pencapaian yang agak luar biasa kerana seperti yang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim maklumkan, Malaysia menjadi negara pertama di dunia yang berjaya meyakinkan sebuah negara seperti Myanmar untuk menerima kembali pelarian-pelarian mereka.

“10,400 orang pelarian Myanmar yang diterima oleh Myanmar sejak awal tahun hingga hujung September baru-baru ini semuanya dipulangkan pada kos yang ditanggung pihak Myanmar itu sendiri.

“Jadi ini satu pencapaian diplomatik yang cukup memberangsangkan,” ujarnya.

Intipati
  • Malaysia menjadi negara pertama meyakinkan Myanmar menerima semula pelarian, kata Fahmi Fadzil.
  • Perbincangan semasa lawatan Presiden Myanmar pada 7 dan 8 Oktober membolehkan penghantaran pulang diatur.
  • Fahmi berkata 10,400 pelarian telah dipulangkan sejak awal tahun, dengan kos ditanggung Myanmar.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan