Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

MB Negeri Sembilan Aminuddin Hadapi Saingan Tiga Penjuru Di DUN Linggi

MB Negeri Sembilan
Kredit: Bernama

MB Negeri Sembilan Aminuddin Hadapi Saingan Tiga Penjuru Di DUN Linggi

PORT DICKSON, 18 Julai (Bernama) -- Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Aminuddin Harun berdepan persaingan tiga penjuru di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Beliau menerima tentangan daripada penyandang DUN itu Datuk Mohd Faizal Ramli daripada Barisan Nasional (BN) dan Datuk Zamri Md. Said daripada Bersatu.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Nurhazelin Makli mengumumkan perkara itu di Pusat Penamaan Calon di Auditorium Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson selepas proses penamaan calon ditutup.

Sementara itu, persaingan di DUN Sri Tanjung pula menyaksikan penyandang daripada PH, Dr G Rajassekaran dicabar oleh calon BN, A. Achutan dan calon muka baharu Leevineshwaraan Murugan (Bersatu).

Bagi DUN Lukut, penyandang daripada PH Choo Ken Hwa dicabar oleh Sathes Kumar Nilameham daripada Perikatan Nasional (PN) dan calon bebas Teo Seng Lee.

Di DUN Bagan Pinang, penyandang Abd Fatah Zakaria daripada Pas berdepan dengan Nasir Raman (PH) dan Sheikh Junaidy Jamaludin (Bersatu) manakala di DUN Chuah pula menyaksikan pertembungan antara penyandang kerusi itu Yew Boon Lye daripada PH dan Pau Jeou Ching (BN).

SPR menetapkan hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini, manakala pengundian awal pada 28 Julai.

Berdasarkan statistik SPR, seramai 889,490 pemilih layak mengundi pada PRN kali ini, terdiri daripada 867,151 pengundi biasa, 16,884 anggota tentera dan pasangan serta 5,455 anggota polis dan pasangan.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.