Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Menteri Iran Gesa Kerajaan Beri Toleransi Kepada Wanita Tidak Bertudung

Nurhanis
menteri iran gesa kerajaan beri toleransi wanita tidak bertudung
Kredit: Islamic Republic News Agency

Kerajaan Iran digesa agar memberikan toleransi lebih besar terhadap wanita yang tidak memakai tudung, di tengah-tengah protes berbulan-bulan yang dicetuskan daripada kematian individu dalam tahanan, Mahsa Amini, lapor AFP.

Menteri Pelancongan dan Warisan Ezzatollah Zarghami berkata demikian selepas mesyuarat kerajaan pada Rabu, merujuk kepada fakta bahawa semakin ramai wanita dilihat tidak memakai tudung sejak kematian Amini pada 16 September lepas.

“Pemikiran tertutup, malangnya wujud di negara ini tetapi kita tidak boleh lagi bersikap keras terhadap rakyat.

“Untuk membangunkan pelancongan dan meningkatkan kehidupan sosial, anda perlu membuka ruang, memahami rakyat dan tidak tegas dengan mereka,” kata Zarghami.

Zarghami berkata beliau menasihatkan mana-mana lelaki yang berkelakuan kasar terhadap wanita yang tidak bertudung supaya memejamkan mata jika ia jelas menaikkan nafsu mereka (apabila melihat mereka).

Imbas kembali, Amini, seorang warga Iran berusia 22 tahun, meninggal dunia dalam tahanan selepas ditangkap polis kerana didakwa melanggar kod pakaian yang ketat di negara itu.

Sehubungan itu Zarghami telah dikritik hebat oleh pihak yang pro-ultra konservatif pada Oktober berikutnya selepas dilaporkan mengkritik polis.

Sejak tercetusnya protes, unit polis yang didakwa melaksanakan peraturan pemakaian tudung telah kurang dilihat di jalanan dan ‘hasilnya’, wanita semakin berani keluar rumah tanpa memakai tudung yang dahulunya diwajibkan.

Tetapi pihak berkuasa memberi isyarat ketat kepada semua wanita sejak awal tahun dengan polis memberi amaran bahawa mereka mesti memakai tudung walaupun di dalam kereta.

Awal bulan ini, ketua pendakwa raya mengeluarkan arahan di mana polis diperintahkan untuk menghukum dengan tegas sekiranya berlaku pelanggaran pemakaian hijab dalam kalangan wanita.

Mahkamah juga harus menjatuhkan hukuman dan denda kepada mereka yang mengingkarinya dengan memberi penalti tambahan seperti dibuang negeri, larangan mengamalkan profesion tertentu serta kerjaya mereka.

Untuk rekod, sudah beratus-ratus orang termasuk anggota keselamatan terbunuh manakala ribuan lagi telah ditangkap berkaitan dengan protes tersebut yang secara umumnya disifatkan sebagai rusuhan.

Sebelum ini, media melaporkan Amini dari wilayah Kurdistan meninggal dunia selepas dia ditahan oleh polis di ibu negara, Tehran kerana didakwa gagal menutup rambutnya dan mengingkari kod pakaian ketat negara itu.

Selepas tiga hari, dia dilaporkan telah meninggal dunia dalam tahanan.

Sumber: AFP via Barrons

BACA: “Nak Makan Mana?” 5 Benda Kecil Boleh Punca Bergaduh, No 4 Tu Paling Tak Berbaloi Tapi Ramai Boleh ‘Relate’