Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Penghujung Ramadan semakin menghampiri. Sebagai umat Islam, umum mengetahui Allah SWT menjanjikan salah satu daripada 10 malam terakhir merupakan malam Lailatul Qadar, malam yang lebih baik daripada 1000 bulan.
Berikutan tarikhnya yang tidak diketahui secara khusus, ramai yang menggunakan peluang untuk melipat gandakan amalan dalam tempoh ini.
Bagaimanapun, pasti ada juga dalam kalangan kita yang bimbang terlepas peluang mengumpul pahala yang dijanjikan.
Mungkin ada yang terpaksa bekerja, mungkin juga yang sudah kepenatan seharian menguruskan pelbagai urusan di siang hari.
Susulan itu, mungkin ada yang tertanya-tanya, adakah dengan menunaikan solat Isyak, akan turut dikira sebagai menghidupkan malam Lailatul Qadar.
Berikut SK kongsikan penjelasan lanjut Mufti Wilayah berkenaan persoalan ini.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Ramadhan merupakan satu bulan di mana Allah SWT anugerahkan kepada umat Nabi Muhammad SAW yang penuh dengan tawaran-tawaran yang hebat dan lumayan.
Ini termasuklah sepuluh malam terakhir yang terdapat padanya satu malam yang ganjaran lebih baik daripada seribu bulan. Berdasarkan soalan di atas, kami ingin menukilkan sebuah hadith daripada Sahih Ibn Khuzaimah:
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW:
مَنْ صَلَّى الْعِشَاءَ الْآخِرَةَ فِي جَمَاعَةٍ فِي رَمَضَانَ فَقَدْ أَدْرَكَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang solat Isyak yang terakhir (Isyak merupakan solat fardhu terakhir yang wajib ditunaikan atau solat Isyak yang sebenar dalam waktunya) dengan cara berjemaah pada bulan Ramadhan maka dia telah mendapatkan Lailatul al-Qadar”. [Riwayat Ibn Khuzaimah (2195)]

Kebanyakan ulama’ mengatakan kelebihan malam al-Qadar akan diperolehi bagi sesiapa yang mendirikan solat Isyak dan Subuh secara berjemaah.
Antaranya, Imam al-Syafie RA mengatakan disunatkan seseorang itu bersungguh-sungguh pada siang harinya (hari Lailatul Qadar) sebagaimana dia bersungguh-sungguh pada malamnya. Imam al-Syafie RA berkata lagi pada mazhabnya yang lama:
مَنْ شَهِدَ الْعِشَاءَ وَالصُّبْحَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ، فَقَدْ أَخَذَ بِحَظِّهِ مِنْهَا
Maksudnya: “Barangsiapa yang menyaksikan (hadir) menunaikan solat Isyak dan Subuh pada malam al-Qadar maka dia telah mendapat bahagiannya daripada malam tersebut”. [Lihat: Raudhah al-Tholibin, 390/2]
Di samping itu, tidak diketahui nas yang bertentangan dengan hal ini di dalam mazhab Imam al-Syafie yang baru.
Dengan itu, setiap yang dinaskan di dalam mazhab yang lama yang mana tidak berlaku percanggahan di dalam mazhab yang baru samada yang bertentangan dengannya atau juga yang bertepatan dengannya maka itu adalah mazhabnya.
Tambahan pula, Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani mengatakan waktu bermulanya malam al-Qadar adalah selepas terbenamnya matahari dan berakhir apabila terbitnya fajar berdasarkan ayat terakhir di dalam surah al-Qadar.
Ini juga merupakan pendapat ashab kami (ulama’ al-Syafi’eyyah) ketika menafsirkan ayat tersebut. [Lihat: Fath al-Bari, 451/6]

Kami cenderung untuk mengatakan bahawa ganjaran malam al-Qadar akan diperolehi bagi sesiapa yang mendirikan solat Isyak secara berjemaah kerana itu telah dikira sebagai qiyam dan telah bermula waktu malam al-Qadar.
Walaubagaimanapun, kita dituntut untuk mencari dan berusaha bersungguh-sungguh dalam melaksanakan amal ibadah pada sepuluh malam terakhir berdasarkan hadith-hadith sahih lain.
Antara ganjaran lain yang disediakan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya pada malam al-Qadar adalah diampunkan dosa-dosa yang telah lalu. Ini dijelaskan di dalam sebuah hadith yang sahih:
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW:
مَنْ قَامَ لَيْلَةَ القَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Maksudnya: “Barangsiapa berqiyam pada malam al-Qadar dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan akan diampunkan baginya dosa yang telah lalu”. [Riwayat al-Bukhari (1901)]
Kesimpulannya, malam al-Qadar adalah satu malam yang istimewa disediakan oleh Allah SWT secara khusus oleh umat Nabi Muhammad SAW sahaja.
Di samping itu, marilah sama-sama kita penuhkan amalan-amalan kita pada sepuluh hari atau malam terakhir di bulan Ramadhan ini dengan amalan-amalan seperti membaca al-Quran, berdoa, bersedekah dan amalan-amalan kebaikan yang lain kerana di dalam hari-hari tersebut pasti akan ditemui malam al-Qadar.
Di sini kami ingin kongsikan sebuah hadith yang menunjukkan akan kesungguhan Nabi SAW dalam beribadah:
Daripada Aisyah RA, beliau menceritakan bahawa:
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْتَهِدُ فِيْ العَشْرِ الأَوَاخِرِ ، مَا لَا يَجْتَهِدُ فِيْ غَيْرِهِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW berusaha sedaya upaya pada malam sepuluh akhir Ramadhan melebihi usahanya daripada malam-malam yang lain”. [Riwayat Muslim (2009)]
Akhirnya, semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita malam al-Qadar yang diisi dengan amal kebajikan dengan menghidupkan malam tersebut dan seterusnya melayakkan kita untuk mendapat keampunan daripada-Nya. Amin.
Wallahua’lam