Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Nak Buang Sofa Lama? Ini Cara Mohon Tong RORO Percuma Untuk Penduduk Selangor

tong roro
Kredit: Flow/AI

Nak Buang Sofa Lama? Ini Cara Mohon Tong RORO Percuma Untuk Penduduk Selangor

Mengemas rumah memang memberi kepuasan, lebih-lebih lagi apabila dapat menyingkirkan barang yang sudah lama tidak digunakan.

Namun, apabila melibatkan barangan saiz besar seperti almari, sofa, tilam, rak atau mesin basuh yang rosak, ramai buntu memikirkan cara untuk membuangnya dengan betul.

Ada yang terpaksa menyimpan barang tersebut di luar rumah untuk tempoh yang lama kerana tidak tahu ke mana perlu dihantar atau bimbang kos pelupusannya yang tinggi.

Bagi penduduk kawasan tertentu di Selangor, masalah itu sebenarnya boleh diatasi secara percuma.

Tempah tong RORO secara percuma

Baru-baru ini, sebuah hantaran di media sosial menarik perhatian ramai apabila seorang pengguna berkongsi mengenai tempahan tong RORO secara percuma.

Menerusi hantaran yang dikongsikan oleh @syakilazabidi di Threads, ini merupakan percubaan kali keduanya memohon.

Menurutnya, permohonan pertama ditolak kerana maklumat yang diisi tidak tepat. Namun selepas membuat pembetulan, permohonannya diluluskan.

"Sekarang dah boleh buang sofa, kerusi, rak, mesin basuh dan semua barang besar-besar nak buang," selorohnya.

Menjawab pertanyaan orang ramai, dia berkata permohonan tong RORO boleh dibuat menerusi aplikasi iClean Selangor.

Bagaimanapun, perkhidmatan tersebut tertakluk kepada kawasan tertentu di Selangor dan kebiasaannya melibatkan rumah jenis teres.

Aplikasi iClean Selangor

iClean Selangor merupakan aplikasi pintar yang dibangunkan oleh KDEB Waste Management (KDEBWM) bagi memudahkan penduduk di Selangor menguruskan pelbagai urusan berkaitan kebersihan.

Melalui aplikasi ini, pengguna boleh membuat aduan berkaitan kutipan sampah domestik, pembersihan awam serta memohon perkhidmatan pembuangan sampah pukal seperti perabot lama dan barangan bersaiz besar.

Inisiatif ini bertujuan memudahkan penduduk mendapatkan perkhidmatan dengan lebih cepat selain membantu memastikan kawasan persekitaran sentiasa bersih dan teratur.

MPHS kongsi cara membuat permohonan

Dalam satu hantaran di Facebook, Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) turut memaklumkan bahawa penduduk yang mempunyai sisa pukal seperti sofa lama, tilam, perabot rosak atau barangan bersaiz besar boleh membuat permohonan tong RORO melalui aplikasi iClean Selangor.

Menurut MPHS, proses permohonan adalah mudah iaitu:

  1. Daftar akaun dalam aplikasi iClean Selangor.

  2. Isi borang permohonan yang disediakan.

  3. Pihak KDEB Waste Management akan menguruskan proses kutipan mengikut permohonan yang diluluskan.

MPHS turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuang sisa pukal di lokasi yang tidak sepatutnya kerana ia boleh menjejaskan kebersihan dan mencemarkan persekitaran.

Bagi penduduk yang ingin menggunakan perkhidmatan ini, mereka disarankan menyemak terlebih dahulu sama ada kawasan kediaman masing-masing berada dalam liputan perkhidmatan yang disediakan menerusi aplikasi iClean Selangor.

Kredit: Majlis Perbandaran Hulu Selangor