Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Netizen Tanya Mengenai Dividen Akaun 3, Ini Jawapan KWSP
Sejak kebelakangan ini, isu kemasukan dividen ke dalam Akaun 3 menjadi topik hangat yang rancak diperkatakan di media sosial.
Dalam masa yang sama, isu tersebut turut dibangkitkan dalam Persidangan Dewan Rakyat hari ini oleh Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Beliau memohon agar satu usul dibentangkan bagi membahaskan cadangan supaya 100 peratus dividen KWSP disalurkan terus ke Akaun 3 (Akaun Fleksibel) sebelum kadar dividen diumumkan secara rasmi.
Tujuan cadangan ini adalah supaya ahli KWSP dapat mudah mengeluarkan dividen itu, contohnya untuk keperluan perbelanjaan sempena perayaan seperti Hari Raya.
Bagaimanapun, satu komen yang ditinggalkan di laman Facebook rasmi KWSP mendapat perhatian apabila seorang individu bertanyakan mengenai tarikh kemasukan kadar dividen ke dalam Akaun 3.
Menjawab kepada persoalan tersebut, KWSP menjelaskan pengagihan dividen KWSP akan dilakukan secara berasingan berdasarkan jumlah simpanan dalam setiap akaun ahli.
Ini bermakna kadar dividen akan dikreditkan berdasarkan baki semasa dalam Akaun Persaraan (sebelum ini dikenali sebagai Akaun 1), Akaun Sejahtera (sebelum ini dikenali sebagai Akaun 2) serta Akaun Fleksibel (sebelum ini dikenali sebagai Akaun 3).
"Walau bagaimanapun, pengagihan dividen ini adalah tertakluk kepada dasar sedia ada dan tidak dapat diselaraskan untuk dikreditkan hanya ke dalam Akaun Fleksibel sahaja
"Terima kasih," ujar KWSP.

Pada tahun 2024, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan penstrukturan semula akaun ahli KWSP daripada dua akaun, iaitu Akaun 1 dan Akaun 2 kepada tiga akaun, iaitu Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel.
Inisiatif yang berkuat kuasa bermula 11 Mei itu adalah bertujuan untuk menambah baik keselamatan pendapatan persaraan, dan pada masa yang sama memenuhi keperluan kitaran hidup ahli.
Menurut KWSP, semua caruman yang diterima selepas tarikh tersebut akan diperuntukkan ke dalam akaun baharu mengikut pecahan tertentu, iaitu Akaun Persaraan (75 peratus), Akaun Sejahtera (15 peratus) dan Akaun Fleksibel (10 peratus).