Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Netizen Tertanya-Tanya Apa Lagi Kerja Tun Dr Mahathir, Pembantu Dedah Kesibukan Hariannya Di Pejabat

Kerja Tun Dr Mahathir
Kredit: Threads @amofficialmy

Selepas bersara daripada jawatan tertinggi dalam kerajaan, ada yang memilih untuk menghabiskan lebih banyak masa berehat dan meluangkan masa bersama keluarga.

Namun, bagi sesetengah individu, rutin harian masih dipenuhi pelbagai aktiviti dan komitmen yang memerlukan perhatian.

Perkara itu turut menarik perhatian apabila perkongsian mengenai aktiviti harian bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengundang persoalan dalam kalangan netizen.

Kerja Tun Dr Mahathir

Menerusi satu perkongsian di media sosial di Threads @amofficialmy, pembantu beliau tampil menjelaskan antara urusan yang masih dilakukan Tun Dr Mahathir, termasuk aktiviti di pejabat dan jemputan dari luar negara.

Pada 3 Oktober 2026, Tun Dr Mahathir dilaporkan hadir ke pejabatnya bagi menghadiri majlis tahlil untuk Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Menerusi perkongsian tersebut, pembantu Tun Dr Mahathir turut berkongsi kata-kata beliau yang menggambarkan semangatnya untuk terus bekerja.

“Jika saya tinggal setengah hari lagi untuk hidup pun, saya tetap akan bekerja,” katanya.

Kenyataan itu mengundang pertanyaan daripada seorang netizen yang ingin mengetahui apakah sebenarnya pekerjaan yang masih dilakukan oleh bekas Perdana Menteri itu.

“Maaf tanya. Istilah ‘bekerja’ Tun M ni apa? Ada kerja apa yang Tun M masih buat?” soal pengguna Threads @naremi.nr

Masih sibuk dengan pelbagai urusan

Menjawab persoalan itu, pembantu Tun Dr Mahathir menjelaskan bahawa jadual beliau masih dipenuhi pelbagai urusan rasmi meskipun sudah tidak lagi memegang jawatan Perdana Menteri.

Menurutnya, Tun Dr Mahathir masih menghadiri mesyuarat, melakukan lawatan serta menyampaikan ucapan dalam pelbagai acara.

Malah, beliau juga tidak putus-putus menerima kunjungan orang ramai yang datang untuk mendapatkan nasihat dan berkongsi pandangan dengannya.

Lebih menarik, pembantu beliau turut mendedahkan bahawa Tun Dr Mahathir menerima jemputan dari Jepun sebanyak dua kali setiap tahun untuk menyampaikan ucapan di pelbagai platform, termasuk persidangan, sekolah dan universiti.

Bukan itu sahaja, beberapa negara lain juga menjemput beliau, manakala delegasi dari luar negara turut mengadakan kunjungan hormat.

Perkongsian itu menjelaskan bahawa urusan Tun Dr Mahathir bukan sekadar tertumpu kepada aktiviti di pejabat, malah turut melibatkan pertemuan dengan orang ramai, delegasi luar negara serta jemputan untuk berkongsi pandangan dan pengalaman.

Kata-kata beliau mengenai kesediaan untuk terus bekerja walaupun mempunyai masa yang singkat untuk hidup turut mencerminkan pendirian yang dikongsikan pembantunya tentang komitmen terhadap aktiviti hariannya.

Reaksi netizen

Menjengah ke ruangan komen, perkongsian tersebut menerima pelbagai reaksi daripada netizen yang meluahkan rasa kagum terhadap semangat Tun Dr Mahathir untuk terus bekerja.

“Allahuakbar, hebatnya Tun M. Kita yang muda ini dah rasa nak pencen, tetapi Tun M masih bekerja dan sentiasa menjadi tempat rujukan,” komen seorang netizen.

“Beliau seorang yang sangat kuat bekerja. Tidak hairanlah beliau mampu mencapai begitu banyak perkara sebagai negarawan Malaysia,” tulis seorang lagi.

Sementara itu, seorang netizen turut merakamkan penghargaan kepada Encik Am, pembantu Tun Dr Mahathir, kerana berkongsi perkembangan mengenai tokoh berkenaan.

“Terima kasih, Encik Am. Kami menghargai perkongsian tuan tentang Tun yang kami sayangi. Kami mendoakan yang terbaik buat Tun, keluarga serta seluruh pasukan yang menjaga khazanah negara ini. Kami sentiasa menyokong anda semua!” tulisnya.

Intipati
  • Pembantu Tun Dr Mahathir menjelaskan beliau masih mempunyai jadual harian yang padat.
  • Antara urusannya termasuk mesyuarat, lawatan, ucapan, menerima kunjungan dan nasihat diminta orang ramai.
  • Beliau turut menerima jemputan dari Jepun dan beberapa negara lain untuk berkongsi pandangan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan